Atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong mengumumkan persaraan selepas 22 tahun menggalas cabaran negara.

Jun Hoong mengumumkan perkara tersebut di laman sosial Instagramnya malam tadi.

Keputusan itu dibuat selepas Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Renang Malaysia (MAS) tidak memperbaharui kontraknya dalam program latihan atlet sepenuh masa tahun ini.

Bekas juara dunia 2017 itu berkata dia masih komited untuk terus mewakili Malaysia namun dia perlu menerima hakikat bahawa kontraknya tidak disambung MSN.

"Dengan itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada MSN, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atas sokongan mereka selama ini. Tanpa mereka, saya tidak akan berada di tempat saya sekarang.

“Saya juga harus merakamkan rasa terima kasih kepada Institut Sukan Negara (ISN) atas sokongan mereka dalam pelbagai cara termasuk sokongan perubatan yang diberikan kepada saya membabitkan doktor, ahli fisioterapi pemulihan, kaunselor psikologi dan semua kakitangan lain.

"Terima kasih semua atas sokongan, dorongan dan persahabatan sepanjang perjalanan saya, dan untuk semua nasihat dan bimbingan yang diberikan kepada saya pada setiap peringkat kerjaya saya.

"Saya sentiasa bersyukur. Sehubungan itu, saya dengan ini mengumumkan persaraan saya secara rasmi," tulisnya di dalam satu hantaran.

A post shared by Cheong Jun Hoong 张俊虹 (@cheongjunhoong)


Kejayaan muncul juara dunia acara 10m platform individu di Budapest, menyaksikan Jun Hoong menjadi atlet terjun pertama negara yang memenanginya di bawah bimbingan jurulatih Yang Zhuliang.

Sehingga kini, dia kekal menjadi satu-satunya atlet terjun negara yang meraih gelaran dunia.

Jun Hoong yang turut memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 bersama Datuk Pandelela Rinong dalam acara 10 meter (m) platform seirama mengakui dia sentiasa percaya bahawa seseorang harus tetap merendah diri apabila berjaya dan bertahan walaupun gagal.

“Oleh itu, saya menerima kegagalan saya baru-baru ini dengan tangan terbuka.

"Sejak menjalani pembedahan lutut kedua saya pada September 2018, saya hanya menumpukan pada pemulihan dan pada masa yang sama mengumpulkan keberanian untuk kembali beraksi dengan tujuan melakukan yang terbaik di Sukan Olimpik walaupun menghadapi pelbagai halangan.

"Saya harus mengakui bahawa saya amat kesal kerana tidak dapat beraksi secara ideal dalam pertandingan walaupun saya sudah berusaha sedaya upaya," jelasnya lagi.