Laman Utama

Selepas Dikhabarkan Bercerai, 3 Bulan Fyna Tak Hubungi Ayda Jebat - "Dia Dalam Tempoh Bertenang"

gempak
Syafiqah Jalal
07/08/2023
13:39 MYT
Sponsor Banner
Selepas Dikhabarkan Bercerai, 3 Bulan Fyna Tak Hubungi Ayda Jebat - "Dia Dalam Tempoh Bertenang"
Penyanyi dan pelakon Ayda Jebat memaklumkan sudah tiga bulan tidak berjumpa dengan adiknya, Fyna Jebat, 29, selepas dikhabarkan sudah bercerai dengan bekas bintang bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan, 61.
Ayda, 31, berpendapat mungkin adiknya itu sedang berada dalam tempoh bertenang selepas apa yang berlaku terhadap dirinya.
"Saya pun sudah tiga bulan 'lost contact' dengannya. Dia menghilangkan diri. Tak jawab telefon dan tak jawab mesej juga. Fyna kini mungkin masih dalam tempoh bertenang.
"Lebih kurang dua bulan lalu, dia memang ada menelefon saya, tapi ketika itu saya tidak sempat menjawab panggilannya sebab sibuk dengan penggambaran drama. Saya ada minta dia hubungi semula pada waktu malam, namun dia terus senyap sampai sekarang.
"Saya pun kalau boleh tak mahulah masuk campur dalam kisah hubungan peribadi dia. Bagi saya, jika dari segi karier seni kalau nak suruh buat lagu ke atau berlakon, dia boleh datang kepada saya untuk bantuan," katanya kepada Gempak.
Ayda ditemui selepas Majlis Pelancaran Produk Terbaharu Aurawhite yang berlangsung di Hotel Parkroyal Collection, Kuala Lumpur petang Isnin.
Apabila ditanya status rumah tangga Fyna dan Zainal, Ayda mengesahkan mereka memang sudah bercerai.
Bagaimana pun, Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat akui tidak terkejut dengan tindakan adiknya itu kerana menyifatkan ia salah satu cara Fyna berhadapan masalah.
"Fyna sebenarnya masih tidak biasa dengan media dan netizen. Jadi, saya rasa dia mungkin sedang cuba lari atau cuba faham situasi, tapi saya tak pastilah.
"Berbanding orang yang dia kahwini itu seseorang dikenali ramai kerana bekas suaminya seorang legenda. Dia (Zainal) mesti tahu bagaimana kawal keadaan.
"Cuma, apa yang saya tahu Fyna kalau tahap tekanan dihadapinya kritikal, dia mesti akan cari saya. Namun, kalau dia berdiam diri dan menyepi itu, bermakna dia dalam keadaan okay saja," katanya.
Dalam pada itu, Ayda tidak menafikan keluarga mereka terkesan dengan situasi yang melanda adiknya.
"Saya harap benda yang jadi ini terbaik untuk Fyna dan orang sekeliling yang turut terkesan dengannya terutama ibu saya," ujarnya.
Terdahulu, Fyna pada 9 Januari lalu mengesahkan sudah bergelar isteri kepada bekas jurulatih bola sepak Pahang FC itu namun tidak mendedahkan butiran sebenar bila mereka melangsungkan pernikahan.
Untuk rekod, Zainal Abidin mendirikan rumah tangga dengan Zalina pada 1980 dan mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Namun, perkahwinan dibina itu hanya bertahan hampir empat bulan dan berita perceraian mereka mula diperkatakan awal Mei lalu dan disahkan oleh saudara terdekat Zainal, dua minggu kemudian.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live