Pelakon Fasha Sandha, 39, memilih untuk tidak memberikan komen lanjut berkaitan isu boikot susulan konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin.

Menurut Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, tindakan itu dilakukan bagi menjaga hati semua pihak selain menganggap isu tereebut terlalu subjektif untuk dibahas.

"Saya tak nak kata boikot atau apa, takut tersalah cakap. Banyak hati perlu dijaga, sama ada pihak yang memboikot dan pihak yang tidak memboikot.

"Banyak pihak terlibat dalam isu ini, ada pekerja yang menanggung keluarga dan sebagainya.

“Kalau ramai yang suruh pekerja berhenti, tak semudah yang disangka untuk mencari pekerjaan baharu dalam keadaan ekonomi sekarang.

"Banyak aspek yang perlu saya teliti sebelum memberi komen, jadi lebih baik saya tak berikan sebarang komen," jelasnya.

Fasha berkata demikikan ketika ditemui di majlis pelancaran butik Al Faro x Fasha Sandha bertempat di Seksyen 7, Shah Alam.

Dalam pada itu, Fasha juga berpendapat setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam memberikan sokongan dan bersolidariti bersama Palestin.

"Ada yang tinggalkan komen mengaitkan isu Palestin di foto saya menghadiri kenduri kahwin dan sebagainya.

“Pada saya, hidup perlu diteruskan tetapi jangan berhenti mendoakan Palestin. Kita tak boleh terlalu taasub sampai menjejaskan kehidupan seharian kita.

“Semua orang ada pendapat mereka, saya tetap mendoakan mereka. Jangan berhenti berdoa tetapi kehidupan memang kena diteruskan. Saya percaya, setiap individu ada cara tersendiri untuk menzahirkan solidariti terhadap Palestin," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fasha kini merupakan duta pakaian muslimah AL Faro.

Al Faro juga baru sahaja membuka cawangan baharu di Shah Alam yang dirasmikan bersama Fasha pada Ahad.