Sukan
Sertai Latihan Intensif Astro Kem Badminton Di Tokyo, Razeeq Danial Raih Pengalaman Baru
Peluang menyertai Program Latihan Intensif Luar Negara di Tokyo, Jepun menerusi Astro Kem Badminton (AKB) digunakan sebaiknya oleh peserta cilik berusia 12 tahun, Razeeq Danial Roslie.
Menurut Razeeq, dia belajar banyak perkara serta meraih pengalaman baru biarpun ada beberapa rintangan.
"Saya rasa bertuah apabila terpilih untuk ke Tokyo bagi menyertai latihan ini. Saya rasa sangat bersyukur kerana dapat menjejakkan kaki ke luar negara dan meraih banyak pengalaman, terutamanya mengenai sukan badminton yang memang saya minati.
"Biarpun ada beberapa kekangan, terutamanya masalah komunikasi dengan pemain serta jurulatih Jepun, tetapi perkara itu dapat semua peserta atasi dan kami memang banyak belajar sepanjang latihan ini berlangsung," kata Razeeq.
Tambah pelajar SJK (C) Sungai Chua, Kajang ini, dia memuji pemain junior Jepun, terutamanya dari segi disiplin.
"Disiplin mereka sangat tinggi, sama ada di dalam atau di luar gelanggang. Saya memuji perkara terbabit dan mengambil banyak input positif yang dapat saya gunakan sendiri ketika berlatih badminton," katanya lagi.
AKB merupakan jalinan kolaborasi antara Astro Kasih bersama Nippon Badminton Association (NBA) di Jepun serta disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan sudah dimulakan semenjak tahun 2003.
Dengan kewujudkan AKB, bakat-bakat cilik serata Malaysia yang mempunyai potensi dalam sukan badminton dikumpulkan dan menjalani latihan intensif di dalam dan luar negara.
Untuk edisi 2019, AKB menerima lebih 3,000 penyertaan di serata Malaysia menerusi pemilihan yang diadakan di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan, Sabah serta Sarawak pada Mac dan April lalu.
Seramai 64 peserta cilik dipilih untuk menyertai program latihan intensif selama seminggu anjuran AKB pada penghujung Ogos sehingga September lalu.
Kemuncaknya, 30 orang peserta cilik berusia bawah 12 tahun bersama dua mentor diterbangkan khas ke Tokyo bagi menghadiri sesi latihan bersama Japan National Junior Team baru-baru ini.
Berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman berlatih secara intensif di luar negara pada 8 sehingga 17 Disember yang lalu, semua peserta cilik ini berkampung di Ajinomoto National Training Center, Tokyo dan mereka turut ditempatkan di Athlete Village.
Athlete Village merupakan sebuah perkampungan atlet berprestij dan merupakan pusat penginapan rasmi atlet di Jepun untuk Sukan Olimpik yang bakal berlangsung tahun hadapan.
Must-Watch Video