Pendakwah terkenal ustaz Ebit Lew meluahkan rasa sebak apabila melihat golongan anak-anak muda yang bekerja sebagai penghantar makanan atau pun rider sebagai sumber rezeki.

Menurut Ebit, golongan rider yang tidak henti-henti mencari rezeki buat keluarga dan ibu bapa sejak daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang pertama pada Mac tahun lalu selayaknya diberi penghargaan di atas pengorbanan mereka.

Tidak hanya itu, Ebit turut berkesempatan untuk meluangkan masa bersama hampir 30 orang rider untuk menghulurkan sumbangan berbentuk wang serta memberikan kata-kata semangat.

Menerusi laman sosial Instagram, Ebit berkongsi momen pertemuan bersama kumpulan rider tersebut untuk tatapan umum.

“Terharu sebak lihat anak muda semuanya, rajin kuat bekerja bantu mak ayah dan sebahagian yang lain telah berkahwin mencari rezeki halal buat keluarga. Setiap hari berkorban bawa makanan dan barang dapur sampai depan rumah kita.

“Terima kasih ya adik abang kakak semua. Masa beri sokongan, doa dan sedikit hadiah, mereka semua kata banyak ni ustaz. Baik je semua. Masa cerita iman, kasih sayang dan ibu bapa mereka menangis. Saya doakan mereka semua ini menjadi anak yang soleh,” tulis Ebit di ruangan kapsyen video.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)


Sementara itu di ruangan komen, rata-rata wargamaya terharu melihat usaha Ebit yang tidak sesekali melupakan kumpulan rider yang turut tergolong dalam barisan petugas hadapan.

Malah, ramai yang turut mendoakan agar perjalanan penghantar makanan dan barangan ini setiap hari sentiasa dilindungi oleh Allah SWT.

Ya Allah seronoknya bila tengok ustaz Ebit dengan mudah berkongsi rezeki dengan semua orang macam ni. Sangat memberi inspirasi,” komen seorang wargamaya.

Allah sayang semoga dipermudahkan segala urusan UEL dan semua,” kata seorang wargamaya.

Moga satu hari nanti saya sekeluarga mampu hulurkan sesuatu tanpa memikirkan berapa keluar, macam UEL buat. Inspirasi,” tulis seorang wargamaya.

Terlalu sedih. Kalaulah mereka ni adik-adik kita, semoga dalam pelihara Allah selama menjalankan tugas,” ujar seorang wargamaya.

Merekalah frontliner yang banyak berjasa tanpa kita sedari. Moga semuanya dikurniakan rezeki yang melimpah ruah daripada Allah SWT,” doa seorang wargamaya lagi.

Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima lebih 750,000 tontonan daripada pengikutnya.