Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui proses yang dilalui untuk tampil dengan album studio terbaharu bukanlah satu perkara yang mudah.

Menurut Siti, setiap album mempunyai cabaran tersendiri, sama seperti album ke-18 yang diberi judul ManifestaSITI2020.

“Bila kita merancang nak keluarkan album, semestinya kualiti menjadi keutamaan. Kita mahukan sesuatu yang baik, malahan mahu yang lebih baik berbanding sebelumnya.

“Proses penghasilan album pula, setiap kali nak buat, mesti rasa pressure (tekanan). Saya dan mereka yang berkhidmat belakang tabir cuba mahu memberikan kepuasan kepada pendengar,” kata Siti kepada Gempak.

Pelantun lagu 7 Nasihat itu ditemui ketika sesi sidang media pelancaran album baharunya di Khan’s Indian Cuisine, Bangsar South baru-baru ini.

Tambah Siti, gerak kerja pembikinan album merupakan satu perjalanan yang sukar untuk seorang penyanyi.

“Sememangnya sukar… Kita mahukan bukan satu lagu sahaja yang memberikan kepuasan kepada pendengar, malah satu album.

“Tak naklah satu atau dua lagu sahaja yang pendengar dan peminat suka, kalau boleh nak semua lagu yang disenaraikan dalam album mendapat tempat di hati peminat.

“Alhamdulillah, prosesnya berjalan lancar dan terhasillah ManifestaSITI2020. Saya berharap agar ia menerima maklum balas positif orang ramai,” katanya lagi.

Album ManifestaSITI2020 mengandungi lagu-lagu pelbagai genre yang membariskan pelbagai komposer dan penulis lirik tersohor.

Naskhah terbabit memuatkan 11 lagu termasuk lima lagu baharu antaranya Kuasa Cintamu, Takhta Dunia, Aku Bidadari Syurgamu, dan Tertulis Nama Kita.

Turut dimuatkan lima lagu yang sudah dilancarkan lebih awal dan sebuah lagu rendisi baharu berjudul Teratai Menjelma nyanyian asal Datuk Sudirman Arshad.

BACA: Kulit Album Siti Ada Maksud Sendiri!

BACA: 'Kuasa Cintamu' Lagu Siti Untuk Aafiyah

Antara komposer yang terbabit dalam album kali ini ialah Aubrey Suwito, Omar K, Hael Husaini, Ezra Kong, Pown Hasril, Melly Goeslow, Hafiz Hamidun, Ippo Hafiz, John Jeevasingham, Ryan Kyoto, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Sebanyak 1,500 buah album habis dijual sejak tempahan awal yang dibuka pada 29 Jun lalu dan pihak penerbit iaitu Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd terpaksa menambah stok bagi memenuhi permintaan peminat.