Penyanyi Hael Husaini mengakui tidak risau apabila ada pihak yang akan membandingkan single terbaharunya, Haram dengan lagu Jampi.

Hael atau nama sebenarnya Hal Husaini Razmi, 31, berkata, setiap single yang dihasilkan mempunyai kelainan tersendiri dan tidak adil jika sesebuah lagu ini dibandingkan.

"Alhamdulillah setelah sekian lama saya berjaya mengeluarkan single terbaharu bertajuk Haram.

"Saya akui lagu Jampi memberi kesan yang besar pada kerjaya seni saya kerana tiada lagu lain yang boleh menggantikan lagu Jampi.

"Lagu Jampi mempunyai keistimewaan tersendiri. Begitu juga dengan lagu Haram. Kedua-dua lagu tersebut ada perbezaannya.

"Sebagai penulis lirik dan penyanyi sudah pasti saya mahu berikan kelainan dalam setiap single yang dihasilkan," katanya kepada Astro Gempak.

Hael berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran single dan muzik video Haram yang diadakan di The Gasket Alley, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi

Foto: Instagram