Semalam, Sidang Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila Ahli Parlimen GPS-Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing menuduh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah takut mati.

Tuduhan itu dibuat apabila Noor Hisham dikatakan tidak ‘turun padang’ ketika wabak COVID-19 melanda Sabah.

"DG (Ketua Pengarah Kesihatan) hari-hari buat berita, bagi 'office boy' boleh baca.

“Kenapa dia tidak turun padang. Macam di Kota Kinabalu, Sabah begitu teruk pandemik COVID-19.

"Kenapa dia tidak melawat setiap hospital, berbincang dan beri sokongan kepada frontliners. Jangan hantar doktor, jururawat saja pergi sebab itu orang tidak takut mati, tapi DG takut mati," katanya.

Pertuduhan itu kemudian mencetuskan 'perang mulut' sebelum Noor Hisham kemudian memberi kenyataan balas ketika sidang media petang berikutnya.

Beliau memberi kenyataan setelah ditanya oleh salah satu wakil media. Menurut Noor Hisham, sebagai orang Islam beliau menerima kematian itu di mana-mana sahaja dan berlaku bukan hanya ketika 'turun padang' atau tidak.

Malah, Noor Hisham turut memetik firman Allah SWT ayat 185 dalam surah Al-Imran bagi menjawab tuduhan.

"Setiap yang bernyawa pasti merasai mati', sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nya kami kembali," katanya.

Tambahnya, apa yang penting ialah kita pasangkan niat untuk melaksanakan tugas terutama untuk memutuskan rantaian COVID-19 dalam negara kita.

"Ini ialah tujuan utama. Kita boleh selisih pendapat tetapi yang pasti apa kita laksanakan ialah untuk memutuskan jangkitan COVID-19 supaya kita dapat selamatkan negara kita daripada peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan kadar kematian," katanya.

Selain itu, menerusi satu posting terbaharu di Twitter rasminya, Noor Hisham turut menyentuh mengenai pengorbanan ‘frontliner’.

“Saya menyeru kepada semua frontliners pastikan kita pasangkan niat, nawaitu kita berkhidmat kerana Allah SWT.

“Semoga dipermudahkan, kita berusaha & bertawakkal kepada Allah. Ajal maut kita Allah yang tentukan.

Untuk rekod, Malaysia hari ini masih mengekalkan jumlah kes baru di tahap tiga angka iaitu sebanyak 822 termasuk tujuh kes import.

Jumlah pesakit sembuh pula sebanyak 769 kes menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 31,073.

BACA: COVID-19 : Kes Sabah Makin Kurang, Tumpuan Kini Di Semenanjung!