HIBURAN
Shuib Lega Hutang Puluhan Juta Dapat Diselesaikan Dalam Masa Dua Bulan - “Alhamudlillah Semakin Berkurang”
Pelakon dan pelawak Shuib meluahkan rasa syukur dia berjaya melunaskan sebahagian jumlah hutang yang mencecah puluhan juta ringgit dalam tempoh dua bulan.
Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, 41, juga menganggap jumlah hutang tersebut dilihat sebagai salah satu lumrah yang biasa dalam dunia perniagaan.
"Alhamdulillah (hutang) sudah semakin berkurang, tak sampai puluhan juta seperti sebelum ini.
"Saya percaya apabila buat perniagaan bernilai jutaan ringgit, hutangnya pun begitu juga," katanya kepada Gempak.
Shuib berkongsi perkara itu ketika ditemui pada pelancaran restoran Nasi Bakar Bangkit di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Restoran cawangan di Bandar Permaisuri, Cheras itu turut melantik anak ketiga Shuib iaitu Ariq Matin sebagai duta restoran berkenaan.
Dalam pada itu, Shuib memberitahu setiap bulan dia akan berkunjung ke beberapa agensi kerajaan bagi berbincang cara terbaik menyelesaikan hutang tertunggaknya.
BERITA BERKAITAN: “19 Tahun Yang Luar Biasa” – Shuib Kenang Persahabatan Dengan Mamat, Doa Sampai Ke Syurga
BERITA BERKAITAN: Tunai Umrah, Shuib & Watie Doa Nak Dapat Zuriat - "Kami Ada Perancangan Untuk Ada Baby Baru Sebab ..."
Kata Shuib dia bersyukur kerana semua pihak yang terbabit banyak membantu dan memberi nasihat agar dia dapat menyusun pembayaran dengan baik tanpa culas.
"Dalam sebulan memang akan jumpa pihak agensi kerajaan, tiada masalah dan semakin baik.
"Kami berbincang cara pembayaran dan semuanya berjalan dengan lancar setakat ini," jelasnya.
Selain pihak bank, hutang Shuib turut membabitkan beberapa agensi kerajaan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.
Melihat kepada perkembangan perniagaannya semakin positif, Shuib yakin mementum itu dapat dikekalkan sekali gus membantunya melunaskan hutang tetap pada waktu.
Janji Shuib, dia tidak akan lari daripada tanggungjawab dan akan melangsaikan hutang-hutang ditanggungnya.
"Saya melihat perniagaan saya sedang meningkat kembali. Jadi saya harap ia terus berkekalan.
"Perniagaan memang akan ada turun naik. Jangan risau saya akan berusaha selesaikan dan percaya Allah akan bantu dan permudah urusan saya," katanya.
Pada Februari lalu, Shuib mengaku menanggung hutang mencecah puluhan juta ringgit selain berdepan tindakan mahkamah susulan gagal membayar caruman Perkeso selain didakwa gagal membayar cukai perkhidmatan.
BERITA BERKAITAN: Shuib Hilang Kata-Kata, Sukar Nak Jawab Soalan Matin - “Dulu Masa Ada Ibu…”
BERITA BERKAITAN: “Setelah Lama Daddy Tak Menangis Akhirnya…” - Matin Menangis Lawat Pusara Ibu, Shuib Gagal Tahan Air Mata
Must-Watch Video