Pelawak dan penyampai radio, Shuib Sepahtu berhasrat mahu meluaskan empayar perniagaan agar dapat memberi banyak manfaat kepada orang lain.

Impian terbabit diluahkan Shuib bersempena ulang tahun kelahiran ke-36 yang disambut pada 12 September lalu.

"Sempena hari lahir, saya mahukan keluarga yang bahagia, kerjaya berjalan lancar dan bisnes yang berkembang baik.

"Saya juga mahu ada empayar perniagaan besar dan Alhamdulillah, bisnes yang dijalankan semakin mendapat respon positif.

"Menerusi perniagaan, saya mahu memberikan banyak kebaikan kepada orang lain dan mahu memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukan," kata Shuib.

Tambah usahawan Bubble Bee itu, dia turut menyimpan hasrat untuk membina masjid.

"Saya ada simpan impian untuk mendirikan sebuah masjid menerusi perniagaan yang dibina, menghantar ramai orang menunaikan ibadah Umrah dan mahu membantu orang setiap hari.

"Sejujurnya, saya rasa cemburu melihat Aeril Zafrel dan Wawa Zainal yang sedang dalam proses membina masjid menerusi perniagaan yang mereka usahakan, tapi cemburu terbabit adalah cemburu yang baik.

BACA: Wawa Zainal Galak Aeril Zafrel Bina Masjid

"Sebelum melihat mereka membina masjid pun saya sudah simpan impian itu tetapi ia bukannya sesuatu yang mudah.

"Jadi, saya mahu berusaha dengan sehabis baik agar apa yang saya impikan menjadi kenyataan," katanya lagi.