Pelawak dan penyampai radio Shuib Sepahtu akui sentiasa berwaspada dan beringat untuk menjaga diri daripada anasir tidak baik seperti bomoh.

Akur dirinya sentiasa terdedah dengan hasad dengki orang yang melihatnya berjaya, Shuib mengamalkan ayat suci al-Quran sebelum tidur.

"Mandrem, itu yang saya takut tapi buat masa sekarang insya-Allah tidak ada dan minta dijauhkanlah.

"Saya sentiasa beringat sebelum tidur dan saya faham dalam dunia bisnes ini pasti akan ada orang tidak puas hati dan hasad dengki.

"Tapi saya bersedia walaupun tak minta orang hantar benda bukan-bukan kepada saya dan keluarga. Minta simpang!" katanya kepada Gempak.

Shuib yang kini sudah membuka cawangan ketiga perniagaan minuman Bubble Bee merancang untuk membuka beberapa cawangan lain sekitar Lembah Klang dan negeri di utara serta selatan Semenanjung Malaysia.

"Kami akan berkolaborasi dengan beberapa selebriti lagi selepas ini untuk membuka cawangan lain yang berpotensi menjalankan perniagaan ini.

"Antara yang dalam perbincangan Achey, Fad, Ray Era, Shaheizy Sam dan Nabil Ahmad," tambahnya.

Terbaharu, cawangan Bubble Bee dibuka di Danau Kota, Setapak Kuala Lumpur selepas Shah Alam dan Petaling Jaya.