Shuk Sahar Dedah Shuib Bagi Pinjam Wang Sehingga RM10,000, Nabil Ahmad & Ebby Yus Pula Terus ‘Bank In’ - “Ada Yang Sampai Bini Suruh Block”
Asyikin Mayudin
10/07/2024 02:55 MYT
10/07/2024 02:55 MYT
Pernah hilang sumber pendapatan disebabkan terpalit kontroversi, pelawak dan pengacara Shuk Sahar mendedahkan rakan sepejuangannya iaitu Shuib pernah meminjamkan wang sehingga RM10,000 kepadanya.
Rakan Yang Bantu
Bukan sahaja Shuib, Shuk juga tidak akan melupakan jasa baik rakan selebriti lain iaitu Nabil Ahmad dan Ebby Yus yang sanggup memberikan wang kepadanya ketika dirinya dalam keadaan susah.
“Kalau yang saya betul-betul pinjam duit daripada Shuib la. Tapi sampai satu tahap tu, saya sendiri berhenti pinjam duit daripada dia. Sebab saya pinjam sampai RM10,000 juga.
“Ada juga rakan-rakan artis yang tolong saya ketika susah, antara nama-nama yang saya kena sebut juga adalah Nabil Ahmad dan Ebby Yus. Masa itu saya bawa jenama satu baju raya, pihak jenama itu hubungi saya cakap saya tak sambung.
ARTIKEL BERKAITAN: Lagi Individu Sama Dakwa Rossa Sera Kacau Suami Orang - “Sesiapa Tinggal 'Area' Tempat Rossa Tolonglah Telefon JAIS”
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas ‘Skandal’ Rossa Sera Nafi Jadi Punca Video Tersebar - “Saya Pun Dah Move On Dengan Dia…”
“Hari yang kami kena shooting, Nabil hubungi saya tanya ‘kenapa tak ada?’… saya cakap memang dah tak ada. Petang itu, dia terus bank in kepada saya. Dia hanya bagi… sama juga dengan abang Ebby Yus.
“Dia hubungi saya tanya keadaan saya okay ke tak, lepas itu dia cakap ‘bagi saya nombor akaun pada PA abang’. Dia terus bank in… inilah orang-orang yang saya memang akan ingat,” katanya kepada Gempak.
Shuk berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis sidang media Dol's Podcast yang berlangsung di The Curve, Damansara, Kuala Lumpur pada Selasa.
Rakan Jauhkan Diri
Malah Shuk turut mendedahkan terdapat rakan yang menjauhkan diri selain isteri kepada seorang artis juga meminta suami untuk menyekat nombornya.
“Ada yang sampai bini (isteri) suruh block,” katanya secara ringkas.
Syukur Diberi Peluang Lagi
Dalam pada itu, Shuk melahirkan rasa syukur apabila Allah memberikan peluang kedua untuk dia menjalani kehidupan yang kini stabil dan selesa.
“Kehidupan sekarang Alhamdulillah, Allah berikan satu lagi peluang kepada saya untuk jadi suami itu satu, menjadi seorang bapa… macam mana sekali pun, saya ada anak-anak dan menjadi anak kepada ibu bapa saya.
“Yang paling penting, Alhamdulillah saya mampulah menjalani hidup kembali normal. Tak ada dah nak meminjam dengan orang dah, tak ada harap menagih simpati orang.
“Saya sampai pernah satu masa ketika dulu, saya buat live di TikTok, kita menagih ‘gift’… ‘nak tengok jambatan Pulau Pinang tak?’ sebab nak minta orang bagi gift. Saya pernah lalui zaman itu.
“Jadi apabila saya ada sekarang, bukan la nak kata selesa macam dulu tapi Alhamdulillah selesa… saya akan jaga apa yang ada sekarang,” ujarnya.
Untuk rekod, Shuk pernah mendirikan rumah tangga dengan Rossa Sera pada 2015 namun mereka bercerai pada 22 Mac tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 8, dan Nur Assyifatu Aimi, 5 tahun.
Shuk kemudian berkahwin dengan Fara Salleh pada November tahun lalu.