Dunia seni Hong Kong menerima khabar duka apabila salah seorang aktor legenda mereka, Ng Man Tat meninggal dunia pada usia 70 tahun.

Aktor yang kerap menjadi side kick Stephen Chow dalam kebanyakan filemnya sekitar tahun 90an termasuk naskhah fenomena Shaolin Soccer dan Fight Back to School dilaporkan meninggal dunia kerana kanser hati.

Salah seorang rakan baik Ng, Tenky Tin Kai man mengumumkan aktor itu meninggal dunia di selepas bertarung dengan penyakit tersebut di Hospital Union sekitar pukul 5.16 petang waktu tempatan.

Ahli keluarga termasuk isteri, anak dan ahli keluarganya berada di sisinya sewaktu beliau meninggal dunia, lapor The Standard.

"Beliau meninggalkan kita dalam keadaan tenang. Doktor memberi ubat kepadanya. Beliau meninggal dunia dalam tidur," kata Tin.

Ng diketahui telah mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lama. Beliau pernah dikejarkan ke hospital kerana mengalami masalah pernafasan pada tahun 1994.

Ng memulakan kariernya pada usia 22 tahun sekitar 1973 dan menempa namanya sebagai salah seorang pelakon komedi terkenal sepanjang pembabitannya sebagai pelakon.

Antara filem lakonan yang cukup mengesankan daripada gandingannya bersama Chow termasuklah The Final Combat dan The Justice of Life.

Sementara itu, Todayonline pula melaporkan, Chow sempat menziarah side kicknya itu kelmarin selepas mendapat tahu tahap kesihatan Ng semakin menurun.



Terdahulu, hubungan keduanya dilaporkan tidak akrab selepas Chow mengambil keputusan untuk membawa watak utama dalam Kung Fu Hustle pada tahun 2004.

Walaupun berita itu menjadi tajuk utama kebanyakan media Hong Kong, namun Chow tidak pernah mengulas, manakala Ng pula hanya mengaku hubungan mereka tidak seakrab seperti dahulu.

Sepanjang pembabitannya, Ng telah dinobatkan dengan pelbagai anugerah termasuk membawa pulang kemenangan di Hong Kong Film Awards dan Taiwan's Golden Horse Awards.

Pada tahun 1991, beliau memenangi anugerah Pelakon Pembantu Terbaik menerusi filem A Moment of Romance yang menyaksikannya berlakon dengan Andy Lau.

Kredit Foto: Todayonline