Hiburan

Siti Nurhaliza Kongsi Kisah Di Sebalik Video Viral Pergi Pasar Malam Bawa Aafiyah, Afwa

gempak
Izwan Isa
05/03/2024
01:55 MYT
Sponsor Banner
Siti Nurhaliza Kongsi Kisah Di Sebalik Video Viral Pergi Pasar Malam Bawa Aafiyah, Afwa
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendedahkan sebab utama mengapa dia membawa anak-anaknya, Siti Aafiyah dan Muhammad Afwa ke pasar malam tidak berapa lama dahulu.
Siti berkata, dia ingin menunjukkan tempat dia berniaga kuih suatu ketika dahulu kepada anak-anak serta kakitangannya.
“Ketika itu, saya pulang ke kampung sebab nak menghadiri majlis perkahwinan kakak yang menjaga Afwa. Jadi, kebetulan berada di sana, saya singgah ke pasar malam, tempat saya berniaga kuih suatu ketika dahulu.
“Saya memang bawa Aafiyah, Afwa dan pembantu untuk tunjuk tempat saya jual kuih dulu… Bila berada di sana, hati memang berbunga-bunga,” katanya kepada Gempak.
Siti berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Kempen Infaq Ramadan Yayasan Nurjiwa pada Sabtu.
Tambah Siti, sungguhpun keadaan pasar malam tempat dia berniaga kuih itu telah banyak berubah, namun, suasana lokasi tersebut masih meriah sama seperti dahulu.
“Dulu tiada atap macam sekarang. Kalau hujan habis semua. Kalau panas, panaslah. Saya juga sempat tengok tempat saya berniaga tu. Dulu lokasi berniaga sebelah pak cik saudara yang jual keropok lekor dan anak-anak dia ada warisi perniagaan.
“Cuma pak cik saudara yang jual putu piring di sebelah saya pun sudah meninggal dunia, dan keluarga dia pula tidak ambil alih perniagaan.
“Kawan-kawan saya pun banyak yang berniaga di pasar malam. Seronok dapat jumpa. Seronok sebab jiwa tu bermula di situ,” katanya lagi.
Terdahulu, sepotong video yang memperlihatkan Siti pergi ke pasar malam bersama Aafiyah dan Afwa viral di media sosial.
Ramai dalam kalangan netizen dan peminat memuji Siti kerana masih turun ke pasar malam sungguhpun sudah berada di liga tersendiri sebagai seorang penyanyi.

BERITA TRENDING: Selamba Pergi Pasar Malam, Netizen Puji Sikap Rendah Diri Siti Nurhaliza - “Humble Betul, Senyum Jer Dekat Orang…

BERITA TRENDING: “Bila Orang Puji Jangan Meninggi Diri, Selalu Rasa Ada Kekurangan” - Siti Titip Nasihat, Doakan Yang Terbaik…

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live