HIBURAN

“Soal Rezeki Atau Tidak Itu Di Tangan Allah” - Ahmad Idham Anggap Filem Impak Maksima 2 Peluang Untuk Kembali

Ainun Md Zooki 05/07/2025 | 09:55 MYT
Pengarah, Dr. Ahmad Idham mengakui filem impak Maksima 2 kemungkinan akan menjadi filem terakhir arahannya sekiranya projek tersebut tidak berjaya.

Jelas Dr. Ahmad Idham, dia sendiri perlu membuat keputusan yang besar yang boleh memberi kesan besar kepada masa depan kerjayanya.

Malah, pengarah itu juga menyatakan dia menganggap filem ini sebagai peluang keemasan yang boleh menyuntik semula semangat dan motivasi dalam dirinya.


“Secara tersiratnya, memang saya letakkan bahawa kalau filem ini tidak menjadi, saya akan berhenti mengarah.

“Sebab pada usia sekarang, saya berada dalam fasa ‘turning point’ kerjaya. Banyak risiko yang perlu saya ambil.


“Jadi apabila diberi peluang untuk mengarah Impak Maksima 2, saya tahu saya perlu ambil peluang ini sebagai satu pembakar semangat untuk diri saya sendiri,”katanya kepada Gempak.


Dr. Ahmad Idham berkata demikian ketika menghadiri Malam Gala dan Sidang Media Filem Impak Maksima 2 yang berlangsung di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur pada Khamis.


Pada masa sama, Ahmad Idham juga berkata soal berhenti atau tidak dalam dunia mengarah filem ini sebenarnya terletak di tangan Allah.


Namun, dia percaya semangat untuk menjayakan filem ini datang dari keazaman dalam diri sendiri.

“Soal berhenti atau tidak, itu semua rezeki di tangan Allah. Tetapi semangat itu yang saya bawa. Saya ingatkan diri sendiri, ‘Ilham, kau kena pastikan filem ini menjadi sebab peluang macam ni dah lama kau tak dapat.’


“Sejak tahun 2011, saya jarang dapat peluang mengarah filem bajet besar. Selalunya saya hanya terlibat dengan filem bajet sederhana.


“Jadi Impak Maksima 2 bukanlah satu jalan biasa bagi saya ini luar dari kebiasaan,” jelasnya.


Dalam perkembangan lain, filem Impak Maksima 2 ini dibintangi oleh Arfie Shah, Nelissa Nizam, Dynas Mokhtar, Fad Bocey dan Datuk Eizlan Yusof.

Filem tersebut akan menemui orang ramai di seluruh pawagam bermula 17 Julai ini.

BERITA BERKAITAN: "Perkara Ini Mengganggu Mental Saya Sebab ..." - Arfie Shah

BERITA BERKAITAN: Ada ‘Cable Besar’ Bukan Jalan Mudah Anak Ahmad Idham Untuk Ceburi Bidang Lakonan - “Walaupun Dia Bapa Saya Tapi…”

BERITA BERKAITAN: Nelissa Nizam Bukan Anak Emas Ahmad Idham, Anggap Keserasian Antara Faktor Dapat Peluang Bintangi Filem - “Kami Sudah Kenal Lama…”

BERITA BERKAITAN: Pelakon Baharu Dakwa Ada Gejala Buli Di Set Penggambaran, Ini Teguran Ahmad Idham! - “Nak Dapat Publisiti Pun Jangan La Sampai…”

#Filem #Ahmad Idham #Berhenti #Mengarah