Usahawan selebriti Iqbal Zulkefli akui telah menerima beratus-ratus kiriman mesej daripada pengguna media sosial meminta duit raya daripadanya tahun ini.

Namun begitu, Iqbal bertegas hanya akan memberikan duit raya seandainya bertemu dengannya secara berdepan.

"Saya terima beratus-ratus DM minta duit raya sejak semalam. Kena jumpa depan-depan baru boleh.

"Saya memang sediakan betul-betul duit raya RM100,000 memandangkan masyarakat sudah kenal saya. Tahun lepas biasanya saya sediakan RM20,000 sahaja untuk keluarga dan orang terdekat.

"Paling kurang saya bagi RM5, RM10 untuk yang bertegur-tegur dan RM50 hingga RM100 kepada orang tua-tua dan fakir miskin.

"Kepada keluarga, ada yang RM200 hingga RM500. Selain itu, yang banyak itu bergantung pada hati saya. Tetapi saya tidak akan bagi melalui transfer.

"Jangan pula mahu berjumpa dengan saya hanya kerana mahu duit raya, sedih saya," katanya.

Dalam pada itu, Iqbal memaklumkan kepada Gempak dia bakal meraikan sambutan Syawal pada tahun ini di kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan.

Terdahulu, Iqbal tampil menjawab pertanyaan netizen mengenai jumlah duit raya yang disediakannya untuk tetamu pada tahun ini.

"Tahun ni saya dah sediakan RM100,000 untuk duit raya. Saya tidak kira usia, kalau rasa nak bagi, saya bagi je. Cuma kena jumpa depan-depan bukan DM atau transfer," katanya.