Pasangan YouTuber suami isteri yang menggunakan nama 'Sugu Pavithra’ berhasrat memasak untuk semua jiran tetangga menggunakan barangan asas yang dihadiahkan Perdana Menteri, Tan Sir Muhyiddin Yassin.

Terharu dengan pemberian PM, S Pavithra, 28, berkata dia dan suami M Sugu, 29, akan memuat naik menu masakan istimewa kepada jiran-jiran di saluran YouTube mereka.

Selain barangan asas seperti beras, sebuk kari, bawang dan minyak masak pasangan tersebut turut menerima tripod, ketuhar gelombang mikro dan periuk nasi elektrik.

"Kami hanya orang biasa,tidak pernah berharap akan dapat hadiah daripada Perdana Menteri. ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kita Tan Sri Muhyiddin Yasin,” kata Pavithra dan suami.

Lebih menggembirakan, PM turut mengirim sekeping kad ucapan buat pasangan suami isteri yang sedang trending ini.

Menghargai pemberian tersebut, Pavithra telah mengabadikan kad ucapan tersebut dalam bingkai gambar.

"Dengan ingatan tulus ikhlas daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keep up the good work, just stay at home" (Teruskan usaha yang baik, duduk di rumah sahaja),” tulis PM pada kad tersebut.

Setakat ini saluran YouTube Sugu Pavithra telah menerima 510K subscribers berbanding 160,000 pada awal Mei lalu.

Peningkatan mendadak tersebut berlaku selepas mereka memuat naik rakaman temu ramah bersama Bernama semasa Hari Wesak pada 7 Mei lalu.

Pasangan itu menjadi perhatian segenap lapisan masyarakat selepas memuat naik video memasak pelbagai menu dalam bahasa Melayu di akaun YouTube 'Sugu Pavithra'.

Terbaru, pasangan Sugu Pavithra berhasrat untuk memasak Nasi Briyani Kambing dan Ayam Masak Merah untuk PM selain belajar membuat kek, pastri serta pencuci mulut menggunakan ketuhar gelombang mikro yang dihadiahkan Muhyiddin.

Foto: Youtube, The Rakyat Post