Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Sukma Platform Terbaik Lahirkan Atlet Elit Ke Olimpik, Hannah Yeoh: “Mungkin Ada Yang Akan Ke Brisbane 2032”

Gempak
18/08/2024 03:55 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan Sukan Malaysia (Sukma) merupakan platform penting untuk menyediakan atlet elit negara beraksi di Sukan Olimpik.

Menurut laporan Sinar Harian, Hannah berkata, seorang atlet Olimpik tidak muncul begitu sahaja dan prestasi mereka adalah hasil usaha selama bertahun lamanya.

"Bakat yang kita asah di peringkat daerah, di peringkat negeri seperti Sukma inilah bakat yang menjadi harapan negara di temasya sukan antarabangsa.

"Atlet kita di sini, adalah bakal atlet kita di Olimpik kelak. Mungkin dalam kalangan kita, ada atlet Olimpik Brisbane 2032. Itulah pentingnya platform seperti Sukma yang perlu diberi penekanan yang lebih tinggi,” katanya.

Hannah berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Sukma 2024 yang berlangsung di Stadium Sarawak semalam.

Beliau turut menekankan mengenai kepentingan semangat kesukanan sama ada semasa atau selepas bertanding.

"Saya menggunakan contoh wira dan wirawati negara yang mengharumkan nama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

"Walaupun diduga dengan penyingkiran pada penampilan yang dirancang sebagai Olimpik terakhirnya, Datuk Azizulhasni Awang tetap memberitahu penyokongnya bahawa beliau masih belum berputus asa,” katanya.

Sementara itu, Hannah berkata, tuan rumah Sarawak adalah tempat terbaik untuk merealisasikan semangat perpaduan.

"Apabila saya melihat keliling stadium ini, saya merasakan bahawa ini adalah Malaysia. Atlet muda dari seluruh pelosok negara di satu tempat.

"Sebagai atlet muda negara yang mempunyai penyokong dan peminat yang ramai, anda semua mempunyai peranan untuk memastikan ekosistem sukan yang mengutamakan perpaduan, menggalakkan persaingan sihat dan tidak toksik,” katanya.

Sukma 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Sukma yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

ARTIKEL BERKAITAN: Jurulatih Beasley Yakin Datuk Azizulhasni Awang Mampu Kayuh Basikal Di Olimpik LA 2028 - “Saya Mahu Lihat Beliau Terus Mencintai Sukan Ini”

ARTIKEL BERKAITAN: Olimpik Paris 2024: Lee Zii Jia Mahu Terus Berjuang Bawa Pulang Pingat Emas Untuk Malaysia - “Iltizam Saya Adalah Untuk Memastikan…”

ARTIKEL BERKAITAN: Olimpik Paris 2024 Gagal? Hamidin Minta Semua Pihak Berpijak Di Bumi Nyata

ARTIKEL BERKAITAN: Pemenang 5 Kali Pingat Olimpik, Tom Daley Umum Bersara Sukan Terjun - "Inilah Waktu Sesuai Untuk Menamatkannya"


Sumber: Sinar Harian

#Sukan #Malaysia #Atlet #Olimpik #Hannah Yeoh #Sukma #Brisbane #Elit
;