VIRAL
Suspek Kes Tembak Di Setia Alam Guna Taktik Ala 'GTA' Untuk Menyamun!
Taktik ala permainan video 'Grand Theft Auto (GTA)' yang dilakukan penjenayah dikenali sebagai Ah Boy untuk melakukan samun bersenjata akhirnya tumpas selepas ditembak mati dalam kejadian di Pulau Ketam Shah Alam pada Selasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek terlibat dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam, 8 Februari lalu.

"Kemudian suspek telah pergi ke Banting dan dua hari lepas dikesan berada di Sabak Bernam untuk melakukan jenayah.
"Selepas insiden di Setia Alam, suspek terlibat dengan lima kes samun bersenjata api, pecah rumah dan curi kenderaan," katanya dalam sidang akhbar di Jeti Pulau Ketam pada Selasa.
Beliau berkata, siasatan polis mendapati suspek bergerak ke destinasi terbabit menaiki e-hailing selain lori dengan cara mengugut pemandunya dengan menunjukkan pistol.
Katanya, suspek secara sendirian kemudian bersembunyi di Pulau Ketam sejak Isnin.
"Polis berjaya menjejaki suspek di sebuah hotel di Pulau Ketam sebelum berlaku insiden tembak menembak antara suspek dan polis kira-kira jam 3 pagi.
"Suspek maut di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk bedah siasat. Polis turut menemui dua pucuk pistol di lokasi," katanya.

"Pertama kali suspek terlibat jenayah pada tahun 2014 secara solo dan kumpulan kecil melakukan samun kedai emas atau premis lain. Tapi sejak pertengahan tahun lepas dia bergerak sendirian," ujarnya.
Tambah beliau, polis juga masih menyiasat dari mana suspek memperoleh pistol terbabit serta sekiranya suspek terbabit dalam kumpulan kongsi gelap.
"Kita juga menyiasat sama ada Pulau Ketam ini menjadi lokasi transit suspek untuk melarikan diri ke lokasi lain," katanya.
Jelasnya, semasa kejadian di Setia Alam, suspek disyaki hendak melakukan samun premis di pusat beli-belah itu.
Tegasnya, polis berjaya menyelesaikan kes ini dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan isu sedemikian.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video