Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur mendapati Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

BERITA TRENDING: “Fitnah Itu Lebih Berdosa Dari Membunuh” - Daiyan Trisha

“Mahkamah memutuskan pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pendakwaan berjaya melepasi keraguan munasabah.

“Oleh itu, tertuduh didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan,” kata Hakim Azhar.

BERITA TRENDING: "Duit Itu Milik Saya, Ibu Dan Ayah, Untuk Renovasi Rumah Dan Tujuan Peribadi" - Syed Saddiq


Mahkamah kini sedang mendengar hujahan mitigasi pendakwaan dan pembelaan berhubung keputusan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin bersama Mohd ‘Afif Ali manakala peguam Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Syed Saddiq.

Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana Armada berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut.

BERITA TRENDING: Muat Naik Foto Berdua, Netizen Speku Emma Maembong Bercinta Dengan Abang Syed Saddiq?


Bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

BERITA TRENDING: Ruhainies Jawab Tuduhan Terlibat Kes Cuci Duit – “Gebu Ke Kita?”

Presiden MUDA itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan ini, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Sumber: Bernama menerusi Astro Awani