Berita
“Tak Ada Harapan Lagi Dalam Rumah Tangga Kami, Cuma…”- Lufya Omar
Pelakon dan penyanyi Lufya Omar dapat merasakan rumah tangga yang dibina selama hampir tiga tahun seperti sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Lufya atau nama sebenarnya, Lutfyah Sheikh Omar berkata, tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan supaya rumah tangganya bersama Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum bertahan.
"Sebelum ini saya pernah memberitahunya untuk menyelesaikan perkara ini secara baik tetapi dia tidak mahu.
“Pada saya sudah tiada harapan lagi dalam rumah tangga kami, terus-terang ia tak dapat diselamatkan,” katanya kepada Gempak.
Minggu lalu, Lufya tampil ke Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Petaling Jaya, bagi sebutan kes permohonan cerai dengan suami, Dr. Che Muhammad Hafiz.
Bagaimanapun, Dr. Che Hafiz tidak hadir pada sebutan kes permohonan cerai yang difailkan bulan lalu itu.
Berikutan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof menetapkan 18 November depan bagi kedua-dua pihak hadir dan memaklumkan prosiding boleh diteruskan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dan Hakam.
Pun begitu, Lufya berharap agar suaminya tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai bapa kepada anak mereka Laana Haura yang baru berusia dua tahun.
"Harapan saya hanya satu, jika apa-apa pun yang berlaku selepas ini antara kami saya harap dia akan jadi bapa yang baik dan bertanggungjawab.
“Jangan jadikan alasan apa yang berlaku ini untuk lupakan tanggungjawabnya sebaga bapa kerana saya tidak akan pisahkan mereka.
“Bagaimana pun dia juga perlu usaha memperbaiki diri untuk terus memikul tanggungjawab ini,” katanya lagi.
Kini, Lana Haura tinggal bersama ibu Lufya di Johor Bahru dan dimasukan ke ‘playschool’.
Lufya mendirikan rumah tangga dengan Dr. Che Hafiz pada 26 November 2016.
Must-Watch Video