Laman Utama
Tak Belajar Tinggi, Ayu Raudhah Tak Beralah Berniaga Baju Raya Pula - "Saya Tak Malu Tapi Lagi Bangga ..."
Meskipun berbekalkan sekeping Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pelakon Ayu Raudhah tidak patah semangat untuk terus bergiat aktif dalam bidang perniagaan.
Jika sebelum ini pernah mengeluarkan produk penjagaan kulit, pakaian muslimah dan lelaki serta tudung, terbaharu, Ayu dan suaminya, Zaquan Adha membuka kafe makanan di Seremban.
Malah, sejak hujung tahun lalu, Ayu turut disuntung menjadi duta pakaian wanita mampu milik, byLR.
"Saya tidak belajar tinggi. Saya tak malu mengakuinya, bahkan bangga dengan semangat diri. Saya hanya lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Malah tak ada latar belakang jurusan perniagaan pun. Namun saya percaya pengalaman menjadi azimat berharga.
"Lalu ketika pihak byLR mempelawa untuk menjadi rakan strategik bagi memasarkan jenama itu, saya cabar diri. Komitmen saya bukan setakat duta, tapi juga ke depan dalam meningkatkan pengaruh serta kesedaran jenama itu.
"Saya fikir ini juga masa dan peluang terbaik untuk melangkah ke fasa lain sebagai usahawan. Ketika ini perhatian tertumpu kepada koleksi sedondon raya si ibu dan anak perempuan dan sebanyak 10000 helai pakaian diterbitkan sempena kehadiran Ramadan dan Syawal," kata Ayu yang turut menampilkan anak perempuannya sebagai model baju raya si cilik.
Tambah Ayu, dia bersama-sama jenama itu bertekad untuk mengeluarkan pakaian wanita contohnya seperti baju kurung kain kapas premium dan corak ala songket yang dijual dengan harga berpatutan.
"Niat kami mahu semua golongan wanita boleh bergaya cantik tanpa mengeluarkan bajet yang mahal. Rangkaian harga pakaian bermula serendah RM69 hingga ke RM129 untuk usia 18 ke 50 tahun.
"10,000 helai pakaian itu disasar boleh habis terjual dalam tempoh kurang sebulan. Kami mensasarkan RM1 Juta jualan dalam sebulan. Tahun ini secara keseluruhan kami sasar RM12 juta boleh disasar. Insya-Allah," kata Ayu.
Jenama di bawah syarikat Iwan Industry Factory Sdn Bhd beribu pejabat di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang yang mula mengembangkan sayapnya sejak hujung tahun lalu itu juga tidak mahu membebankan golongan wanita terutama di era semasa.
"Dari zaman pandemik COVID-19 hinggalah ke endemik, kami tahu ada yang bergelut meneruskan survival. Bukan semua senang. Tapi di saat negara sudah mula 'terbuka' membiasakan norma baharu dan kesempatan beraya tahun ini, tak salah untuk berbelanja membeli pakaian raya.
"Sebab itu kami mahu puaskan keinginan wanita yang masih kekal berfesyen cantik dengan harga bukan kayangan. Golongan sasaran kami daripada gadis hinggalah wanita matang.
"Daripada pekerja kerajaan, swasta hingga ke sektor korporat dan juga pelajar kolej mahupun universiti ini masa untuk anda kekal bergaya tanpa berfikir panjang memikirkan nilai harganya," katanya.
Mengulas mengenai jenama yang diwakilinya tidak sepadan dengan status figura umum, Ayu enggan menjadikan hal itu sebagai batu penghalang.
"Saya boleh akui seorang yang tidaklah terlalu ringkas dalam bergaya. Kalau sudut artis, pakaian digayakan bergantung kepada majlis dan situasi.
"Namun atas kapasiti usahawan, saya tak boleh ikut kehendak sendiri. Pakaian cantik dan mahal belum tentu orang ramai pakai. Tapi pakaian cantik, selesa, ringkas, harga munasabah dan dianggap 'kampung' itu tentu-tentu ramai nak.
"Biarlah bijak membeli, menang memakai. Sekarang ini pun, koleksi terdahulu dijual pada harga diskaun 30 peratus sempena pra Ramadan. Saya juga nak ajak semua tambah pendapatan sempena raya kali ini dengan menjadi 'dropship'. Boleh rujuk pautan https://linktr.ee/bylrofficial," kata Ayu.
Ayu berkata, dia diperkenalkan Nurhazlinda menerusi kakaknya, Rubitah Che Wan dan suami, Lan Pet Pet tahun lalu.
Bermula sebagai risikan menjadi duta jenama pakaian itu, Ayu menyerlahkan pengalamannya menceburi perniagaan sejak tahun 2012 menarik keyakinan rakan kongsinya itu untuk berada di depan menerajui perniagaan diusahakan.
Sebagai permulaan, Ayu turut mengumumkan akan mengedar 10,000 tudung percuma dan baucar RM10 kepada peminatnya.