Penyanyi popular, Wany Hasrita akui pernah menjadi mangsa buli siber oleh warga internet.

Namun menurut penyanyi lagu Belenggu Rindu ini, dia kini mengambil langkah untuk tidak mempedulikan perkara sebegitu.

"Bagi saya, isu sebegini memang akan berlaku tambahan lagi jika kita berkecimpung dalam bidang hiburan.

"Isu buli siber sememangnya akan berlaku baik lambat atau cepat, dulu, waktu mula-mula mengalami, saya terfikir-fikir juga tentang ada orang yang tak suka dan benci saya.

"Tapi lama kelamaan, saya ambil langkah untuk tidak memikirkannya, 'lantak engkaulah'," katanya.

Wany berkata demikian ketika ditemui di majlis anti buli siber anjuran Himaya Premium Hijab Mask di Kuala Lumpur petang semalam.

Jenama itu menampilkan Wany, Erra Fazira, Elfira Loy dan Amira Othman selaku duta.

Tambah Wany, untuk mengelakkan kejadian buli siber, seseorang itu harus menjaga diri sebaik mungkin agar tidak membuka ruang kepada mereka yang suka bercakap buruk.

"Apapun, kita harus mulakan dengan diri sendiri dahulu untuk tidak membaca komen-komen negatif di media sosial dan tidak mempedulikan perkara itu.

"Selain itu, kita harus didik diri untuk tidak membuka ruang dan peluang untuk orang bercakap buruk tentang kita.

"Jadi, kalau kita tak mahu orang bercakap pasal kita, haruslah jaga diri supaya mereka tiada bahan nak mengata," katanya lagi.