Laman Utama
Tak Mahu Membazir, Haiza Enggan Boros Berbelanja - “Keperluan Untuk Terlalu Beria Tu Dah Tiada”
Penyanyi dan penyampai radio, Haiza mendedahkan yang dia cuba untuk mengelakkan pembaziran ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dengan hanya membeli persalinan raya mengikut keperluan.
Katanya, dia dan keluarga mengambil iktibar terhadap kesan yang berlaku sepanjang pandemik COVID-19 yang sudah lebih dua tahun melanda dunia.
“Tahun ini kita tengok ekonomi negara baru sahaja nak membangun. Poket sendiri juga baru saja nak kembali diisi. Berdasarkan apa yang berlaku (pandemik), kita tak dapat jangka apa yang akan terjadi pada masa akan datang.
“Jadi kita jadikan apa yang berlaku dulu sebagai pengajaran. Satu kesilapan besar kalau kita tak ambil iktibar dan jadikan pengajaran terhadap apa yang terlalu berlaku,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Haiza turut berkongsi yang tabiat membeli banyak baju untuk kegunaan lebaran sebelum ini sudah tidak diamalkan lagi.
“Dulu memang saya suka beli lima hingga enam pasang baju. Bukan apa, suka bila tengok baju tu dalam kotak dan teruja untuk membuka. Tapi lepas pandemik ni, keperluan untuk terlalu beria tu dah tiada.
“Sungguhpun kita berada dalam transisi pandemik, tapi masih ada rasa takut-takut untuk beraya,” kongsinya.
Ditanya adakah anak-anak tidak kisah dengan ‘peraturan’ baharunya, Haiza berkata: “Alhamdulillah, anak-anak faham. Tambahan pula mereka pun turut sama melalui pandemik, jadi mereka tahu yang sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk berbelanja besar,” katanya lagi.
Must-Watch Video