Skip to main content

Berita Tempatan

Selepas Lebih 20 Tahun Dalam Industri, Mawi Muncul Dengan Lagu Baharu, Bergabung Tenaga Bersama Label Sabah

Selepas Lebih 20 Tahun Dalam Industri, Mawi Muncul Dengan Lagu Baharu, Bergabung Tenaga Bersama Label Sabah

Sekilas

  • Mawi kembali dengan single terbaru berjudul Pawana Pawaka, hasil kolaborasi bersama AJ Productions dan Sheikh Qalam Records dari Sabah.
  • Lagu ini membuka peluang kepada bakat kreatif Sabah untuk menembusi industri muzik arus perdana Malaysia.
  • Selain konsert solo baru-baru ini, Mawi terus aktif dalam industri muzik walaupun sudah lebih dua dekad berkarya.
Advertisement

Penyanyi Mawi kembali memeriahkan industri muzik tanah air menerusi single terbaharu berjudul Pawana Pawaka, sekali gus membuka lembaran baharu dalam perjalanan seninya selepas lebih dua dekad mencipta fenomena menerusi Akademi Fantasia musim ketiga (AF3).

Menariknya, lagu berkenaan menyaksikan penyanyi bernama penuh Asmawi Ani itu menjalinkan kerjasama istimewa bersama syarikat rakaman dari Sabah, AJ Productions Sdn Bhd dan Sheikh Qalam Records Sdn Bhd.

Advertisement

Pawana Pawaka merupakan hasil ciptaan Jasnie Mohd Yaakub dengan lirik nukilan Kamarudin Hasim, manakala urusan pengedarannya dikendalikan oleh AJ Productions.

Kolaborasi berkenaan bukan sahaja menandakan kemunculan karya baharu Mawi, malah membuka peluang kepada tenaga kreatif dari Sabah untuk mengetengahkan bakat mereka dalam industri muzik arus perdana.

Buka Peluang Kepada Bakat Sabah

Menurut Pengarah Urusan AJ Productions, Asmi Datuk Andi Yakin, kerjasama itu cukup bermakna kerana menjadi pengalaman pertama syarikat berkenaan menerbitkan karya buat Mawi.

Advertisement

"Kolaborasi ini sekali gus membuka ruang kepada bakat kreatif Sabah menembusi pasaran muzik tanah air.

"Ia menjadi satu pencapaian penting dalam usaha AJ Productions memperluas penglibatan di pentas muzik nasional serta membuka ruang pertemuan antara bakat kreatif Sabah dengan nama besar industri hiburan Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, proses rakaman lagu berkenaan turut mendapat sentuhan barisan pemuzik berpengalaman bagi menghasilkan sebuah karya yang berkualiti.

Video muzik Pawana Pawaka yang dimuat naik menerusi saluran YouTube AJ Productions sejak 8 November lalu juga dilaporkan sudah meraih kira-kira 70,000 tontonan.

Lebih Dua Dekad Dalam Industri

Mengimbas perjalanan seninya, Mawi pernah mencetuskan fenomena luar biasa ketika menyertai AF3 pada 2005 sehingga melahirkan gelombang 'Tsumawi' dan slogan popular 'Mawi World'.

Sejak itu, namanya terus menjadi perhatian menerusi deretan lagu popular seperti Aduh Saliha, Kian dan Lagu Jiwa Lagu Cinta yang menyaksikan gandingannya bersama Datuk M Nasir.

Mawi juga pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar industri muzik termasuk KRU, Raihan, Yasin Sulaiman dan Datuk Jamal Abdillah.

Selain lagu komersial, penyanyi berkenaan turut aktif menghasilkan karya berunsur kerohanian serta meneroka bidang penciptaan lagu.

Terbaharu, penyertaannya dalam program GV Fantasia turut mengimbau nostalgia peminat terhadap perjalanan seni Mawi yang bermula menerusi AF3.

Terus Aktif Walaupun Sudah Lama Dalam Industri

Sementara itu, Mawi baru-baru ini turut mengadakan konsert solo The Journey Of Mawi World di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 8 November lalu.

Konsert berkenaan menampilkan beberapa artis jemputan termasuk Akhil Hayy, Daly Filsuf, Felix Agus, Datuk AC Mizal dan Datuk Aznil Nawawi.

Lebih menarik, konsert itu berlangsung ketika Mawi turut mempunyai komitmen bersama program GV Fantasia, namun kedua-dua perancangan berkenaan tetap diteruskan mengikut jadual.

Dengan kehadiran Pawana Pawaka, Mawi membuktikan bahawa perjalanan seninya masih diteruskan, selain terus meneroka peluang kerjasama baharu bersama penggiat muzik tempatan.

Single Pawana Pawaka kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi AJ Productions Sdn Bhd.

Anda mungkin berminat dengan

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY BACKPACK Unisex Blue KA9881

adidas Lifestyle ADIDAS DISNEY BACKPACK Unisex Blue KA9881

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

Kikilala Baby Boy Suit Sets World Cup BSB587

Football Japan 26 Home Jersey Men Blue KD3345

Football Japan 26 Home Jersey Men Blue KD3345

adidas Football Manchester United 25/26 Pre Match Jersey Men Black KA6419

adidas Football Manchester United 25/26 Pre Match Jersey Men Black KA6419

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

PUMA X SQUID GAME AOP Relaxed Football Jersey (New Navy) 63070716

POP MART DIMOO Moments in Bloom Series Figures

POP MART DIMOO Moments in Bloom Series Figures

Must Watch Video

Advertisement