Anggota kumpulan De Fam, Cik Manggis gembira apabila berganding dengan penyampai radio ERA, Radin untuk Karpet Merah Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME 2020) malam ini.

Cik Manggis atau nama sebenarnya, Nurshazwani Shamsuddin, 30, menyatakan Radin banyak membantu jadi tidak wujud istilah overshadow antara mereka.

"Saya dah lama kenal Radin. Dia seorang hos yang bagus kerana banyak membantu saya.

"Walaupun dia sedar dia hebat dan saya masih berjinak dalam bidang ini, tak ada istilah dia nak overshadow.

"Dia tau bahagian dia, dia bagi bahagian saya. Jadi, kami bekerjasama dengan baik," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, pelakon drama Alamatnya Cinta itu akui teruja apabila mendapat tawaran untuk menjadi sebahagian daripada keluarga AME2020.

"Saya gembira tau bila dapat tawaran jadi hos Karpet Merah ini sebab tak sangka.

"Saya harap saya dapat beri sebaik mungkin," katanya lagi.

AME2020 akan disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) secara eksklusif di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

BACA: Tiga Pelawak Bergabung, Zizan Razak Jadi Hos AME2020

Bagi rakaman acara Karpet Merah AME2020 yang dibawakan oleh Astro GO pula akan disiarkan jam 8.30 malam pada hari yang sama sebelum siaran malam kemuncak.

Istimewa untuk pelanggan Astro yang memiliki dekoder ‘Ultra Box’, AME 2020 turut didatangkan dengan format kualiti 4K UHD menerusi saluran khas 780.

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, AME 2020 turut boleh distrim menerusi perkhidmatan Astro Go dan On Demand.