Hiburan
Tampilkan Aisyah Hijanah, Inteam Mendaki Tangga Sohor Kini Dengan Wanita
Selepas mendapat kedudukan sohor kini (trending) nombor satu dan dua di YouTube bagi single mereka berjudul Dia dan kolaborasi terbaru bersama Khai Bahar berjudul Setanggi Syurga 2020, percubaan Inteam melancarkan karya seterusnya berjudul Wanita turut menampakkan hasil.
Single Wanita ini mendaki tangga trending ke-15 dengan jumlah tontonan melebihi 80,000 kali dalam masa 24 jam.
"Alhamdulillah, sejak dilancarkan, karya baru kami dalam bentuk nyanyian semula (cover version) ini nampaknya mendapat sambutan yang sangat baik dari peminat" kata Syah yang merupakan ketua kumpulan Inteam.
Ditanya mengenai perasaan apabila lagu ini dipilih untuk dinyanyikan semula, Hisyam Ahmad yang merupakan penyanyi asal, pencipta lagu dan lirik Wanita menerangkan:
"Lagu ini saya nyanyikan sewaktu saya bersama kumpulan Dehearty suatu masa dulu, saya bersyukur kerana lagu ini dipilih untuk dinyanyikan semula bersama Inteam setelah saya kembali bersama kumpulan ini, ia merupakan suatu penghargaan bagi saya," katanya.
Lagu berjudul Wanita pernah dipopularkan kumpulan Dehearty pada tahun 2005 di mana pada masa itu Hisyam merupakan vokalis utama kumpulan tersebut.
"Lagu ini mengandungi mesej yang sangat mendalam terhadap insan bergelar wanita yang menerangkan betapa mulia dan tingginya kedudukan mereka dalam Islam.
"Bahkan lagu ini juga sesuai untuk para lelaki mengambil iktibar supaya menjaga amanah mendidik dan melindungi wanita dari sebarang keburukan," kata Hazamin pula.
Menurut Inteam lagi, video muzik kali ini menampilkan seorang ikon wanita media sosial yang popular iaitu Aisyah Hijanah yang memegang watak utama dalam penceritaan visual lagu ini.
"Aisyah sangat bersesuaian dengan watak yang digambarkan dalam lagu ini dan beliau memberi komitmen yang sangat baik sepanjang rakaman diadakan, bahkan terus menyokong dengan berkongsi pautan lagu ini di media sosial beliau," tambah Rahim pula.
Menurut komen-komen yang diberikan penonton di ruangan komen di rangkaian YouTube Inteam Digital itu, rata-rata mengatakan watak Aisyah dalam video muzik tersebut menjadi inspirasi kepada para wanita untuk menjaga peribadi dan akhlak mereka.
Lakonannya di penghujung video muzik tersebut diadaptasi dari kisah benar seorang Muslimah di Amerika Syarikat yang terselamat dari gangguan penjenayah rogol kerana dilihat seperti diiringi penjaga berkat beramal dengan Ayat Kursi serta menjaga maruah sebagai wanita solehah.
Lagu Wanita nyanyian Inteam ini baru sahaja dilancarkan secara rasmi pada hari Jumaat bersamaan 10 Julai 2020 di rangkaian YouTube Inteam Digital dan semua platfom digital rasmi yang lain seperti Spotify, Deezer, Joox, KKbox, Itunes, Apple Music dan lain-lain.
Must-Watch Video