Hiburan
Tasha Shilla & Raja Ilya Sahut Cabaran Menyanyi Di Gempak Superstar
Seramai 10 orang pelakon tanah air menyahut cabaran untuk menyanyi dalam program terbaru terbitan Astro, Gempak Superstar.
Program berkonsepkan pertandingan nyanyian ini disertai oleh lima pelakon lelaki iaitu Nazim Othman, Sofi Jikan, Ryzal Jaafar, Dazrin Kamarudin dan Arja Lee.
Manakala lima pelakon wanita pula terdiri daripada Tasha Shilla, Raja Ilya, Izreen Azminda, Sherry Ibrahim dan Siti Elizad.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad, program kali ini bakal memperlihat bakat terpendam pelakon-pelakon tanah air dalam bidang nyanyian.
"Sedikit kelainan untuk program kali ini apabila para peserta terdiri daripada pelakon tanah air.
"Mereka dipilih berdasarkan bakat dan kebolehan mereka untuk menyanyi.
"Sama seperti program realiti lain, mereka juga perlu melalui ujibakat yang diadakan sebelum dipilih untuk memasuki program ini," katanya ketika ditemui pada sidang media Gempak Superstar bertempat di Live House, Kuala Lumpur.
Tambah Raqim lagi, empat nama besar selaku barisan tenaga penasihat iaitu Datuk Ramli MS selaku pengarah muzik dan vokal, Datin Marlia Musa, Pat Ibrahim (penasihat drama) dan Hanafi Rosdi (penasihat koreografi) untuk membantu serta memberi bimbingan kepada para peserta.
Dalam pada itu, program tersebut juga bakal menyaksikan gandingan pelakon popular Scha Alyahya dan Sharnaaz Ahmad sebagai pengacara.
Program ini menggunakan sistem pemarkahan 50% oleh juri tetap dan 50% lagi adalah berdasarkan undian penonton melalui sistem pesanan ringkas (SMS).
Undian secara online juga boleh dilakukan menerusi laman web www.gempaksuperstar.com.my mulai 4 April 2016.
Gempak Superstar akan bersiaran setiap Ahad, jam 9.00 malam bermula 10 April 2016 secara eksklusif di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).
Must-Watch Video