Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Tawar Durian Percuma Kepada Wanita Bujang, Idea Tercetus Ketika Tulis Harga - “Rasa Terhibur Dengan Telatah Pelanggan Namun…”

Gempak
16/07/2024 12:55 MYT
Tiga sekawan membawa konsep perniagaan durian lain daripada kebiasaan apabila menawarkan durian percuma kepada wanita bujang yang berkunjung untuk mendapatkan raja buah itu di gerai jualan mereka dekat Kampung Seberang Takir, Terengganu.

Idea Datang Ketika Tulis Harga

Pemilik ST Durian Stall, Ahmad Naqiuddin Ramli, 26, berkata, idea untuk memberikan durian percuma itu muncul secara spontan ketika menulis harga bagi setiap jenis durian yang dijual di gerai tersebut.

"Idea asal durian percuma ini kita buat bagi menghargai golongan bujang sebab kita dah biasa dengar tawaran-tawaran yang diberikan kepada orang kurang upaya (OKU), warga emas atau golongan asnaf.

"Kali ini kita mahu beri sedikit kelainan dengan memberikan durian percuma kepada wanita bujang supaya mereka turut berasa seronok dan dihargai," katanya ketika ditemui pemberita di gerai jualannya sini, pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Durian + Kopi, Pesakit Rebah Di Pintu Klinik! Dr. Samhan Kongsi Punca Keracunan Ringan

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga Durian Tular Tidak Berbaju Akui Kesilapan, Tampil Mohon Maaf - “Ketika Meniaga Kami Pakai..”

Ahmad Naqiuddin berkata, dia dan dua lagi rakannya, Zamadi Jaafar, 31, dan Muhammad Faqrullah Mat Daud, 29, mula berniaga durian di situ sejak dua minggu lalu.

10 Wanita Bujang Bertuah

Katanya, setakat ini seramai 10 orang wanita bujang bertuah telah mendapat durian percuma terdiri daripada buah campur (BC Baby).

"Selepas tawaran durian percuma ini tular, ramai yang datang ke gerai ini untuk mendapatkan durian percuma namun ada beberapa syarat untuk mereka mendapatkan durian ini, antaranya yang utama perlulah jujur.

"Selain itu, wanita bujang yang mahukan durian percuma perlu datang seorang di gerai ini dan membuat pembelian walaupun dalam kuantiti yang sedikit," ujarnya.

Bercerita mengenai sambutan luar biasa diterima, dia memberitahu, terdapat kejadian lucu yang turut mencuit hati mereka selepas menawarkan durian percuma kepada wanita bujang.

"Ada yang datang bertanyakan dokumen yang perlu ditunjuk bagi membuktikan mereka masih bujang, ada juga golongan lelaki bujang yang mahu menuntut hadiah durian percuma tetapi syarat kita hanya untuk wanita bujang.

"Rasa terhibur dengan telatah pelanggan, namun kami harap apa yang dilakukan ini dapat sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati mereka terutama bagi wanita yang masih belum berpunya," katanya.

Durian Dari Labis, Johor & Raub

Menurut Ahmad Naqiuddin, bekalan durian yang dijual di gerai tersebut diperolehi daripada pembekal dari Labis, Johor dan Raub, Pahang.

Katanya, harga bagi durian kampung yang dijual gerai tersebut ialah RM13/kilogram, Musang King gred B (RM36/kg), Musang King gred A (RM55/kg), D13 gred A (RM30/kg), udang merah dan I0I (RM39/kg) duri hitam gred B (RM70/kg) dan duri hitam gred A (RM90/kg).

"Secara purata setiap hari sebanyak 1.5 tan durian yang kami dapat untuk dijual di sini. Setakat ini durian yang dijual di gerai ini mendapat permintaan tinggi dan tidak pernah sunyi daripada menerima pelanggan," katanya.

Sumber - Sinar Harian

ARTIKEL BERKAITAN: BamBam Puji Musang King Malaysia - “Rasanya Manis, Tak Terlalu Pahit”

ARTIKEL BERKAITAN: Awie Makan Durian Pakai Sudu, Netizen Terhibur Bila Roy Azman Sempat ‘Membahan’ - “Pertama Kali Tengok Macam ini…”

#Durian #Pelanggan #Wanita Bujang #Durian percuma #Jual durian