Pelakon jelita Rozita Che Wan kerugian beribu-ribu ringgit apabila telefon pintar miliknya dicuri oleh suspek yang difahamkan terdiri daripada sekumpulan wanita dari Romania ketika sedang bercuti di London.



Kata Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta, kejadian yang berlaku pada 13 Februari itu terjadi sangat pantas tanpa disedari.

"Saya tiada telefon bimbit selama 10 hari sepanjang bercuti di luar negara. Kejadian itu berlaku ketika sampai di London.

"Selepas check in pada pukul 10 pagi, saya terus pergi Zara sebelah Harrods tu. Masa sebelum tu memang ada letak dalam poket baju sebelah kanan tapi saya sentiasa zip. Tak letak dalam beg pula.

"Ketika masuk ke dalam Zara nak ambil gambar baju, pegang-pegang poket tak ada telefon. Cari-cari tak ada, pusing pi pusing mai tak ada!

"Pergi security semak, staf pun cakap tak jumpa," ujarnya yang menyifatkan telefon pintarnya umpama diari bergerak yang menyimpan segala maklumat penting termasuk urusan kerja.

Bagaimanapun, kakitangan butik mendedahkan kejadian 'pick pocket' sentiasa berlaku di premis berkenaan melibatkan individu luar dari kota London.

"Mereka maklumkan hari-hari ada kejadian pick pocket dalam Zara dan ditunjukkan semua gambar muka wanita Romania. Mereka berlakon seolah-olah pelancong, konon-konon nak shopping, ambil baju letak di tangan kepung kita indirectly, ramai-ramai.

"Mereka buat kerja tu profesionallah, sebab bukan sehari dua buat kerja mencuri ni. Sebelum ini modus operandi mereka potong tali handbeg, saya dah berwaspada simpan beg dalam jaket tapi sekarang yang hilangnya handphone," luahnya.

Che Ta bersama-sama ahli keluarganya bercuti ke beberapa buah negara antaranya Vienna, Budapest, Zermatt, Geneva, Paris dan London selama 22 hari sehingga 18 Februari lalu.