Hiburan
"Terasa Macam Arwah Ada Lagi..." - Ramlah Ram Sebak Kenang Pemergian Nassier Wahab
Penyanyi senior, Ramlah Ram mengenang Datuk Nassier Wahab pada hari lahir teman industrinya itu dua hari lalu.
Ramlah berkongsi perkara itu menerusi entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan umum.
Menurut Ramlah, dia sentiasa merasakan seolah Allahyarham masih ada lagi kerana merinduinya.
"Al-Fatihah buatb sahabatku @datonassierwahab hari ini 18 April merupakan hari ulang tahun arwah, gambar ini diambil pada bulan April tahun lepas semasa majlis ulang tahun di rumah arwah.
"Terasa macam arwah masih ada lagi, rindu dekat Nassier," tulisnya sebagai kapsyen.
Dalam pada itu, pelantun lagu Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu ini turut mendoakan ketenangan buat sahabatnya itu.
"Semoga tenang dan damai di sana sahabatku, marilah kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat arwah, semoga roh arwah sentiasa dicucuri rahmat Allah," tulisnya lagi.
Menjengah ruangan komen, rata-rata pengikut Ramlah juga peminat Nassier turut menitip doa serta menyedekahkan Al-Fatihah buat penyanyi kesayangan mereka itu.
Terdahulu, Nassier telah menghembuskan nafas terakhir pada 5 Disember 2019.
Pada 1 Jun 2019, Nassier pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, dan memberitahu keadaanya semakin pulih.
Difahamkan ketumbuhan tersebut mula dikesan selepas Nassier menjalani prosedur mencabut gigi, beberapa tahun lalu.
Pada April tahun lalu, Nassier juga pernah dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan membuang kelenjar dan ketumbuhan pada leher.
Allahyarham pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) musim kedua pada tahun 2015, dan menduduki tempat keempat.
Must-Watch Video