BERITA
Terburu-Buru Dalam Mengeluarkan Kenyataan Di Twitter, Wany Hasrita Mohon Maaf
Penyanyi Wany Hasrita mengakui sudah memohon maaf kepada stesen radio dan pihak pengurusannya, FMC selepas mengeluarkan kenyataan tidak berpuas hati di akaun Twitter peribadinya semalam.
Menurut Wany, dia bertanggungjawab sepenuhnya atas kenyataan dilakukan dan sudah menjelaskan perkara sebenar maksud yang ingin disampaikan.
"Saya sudah memohon maaf pada stesen radio dan pihak pengurusan diatas keterlanjuran mengeluarkan kenyataan yang mengundang salah faham.
"Saya sedar sebagai seorang penyanyi profesional saya tidak patut menulis tweet sebegitu.
"Tapi saya juga kesal dengan apa yang dilakukan oleh Haqiem kerana saya tidak sepatunya terlibat dalam hal ini.
"Mungkin ada hikmah disebalik apa yang terjadi dan saya akui apa yang terjadi adalah kelemahan saya yang tidak sabar dalam menangani isu ini," katanya kepada Astro Gempak.

Wany berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan barisan pelumba Toyota Gazoo musim kedua di APW Bangsar, pada Rabu.
Wany sebelum itu meluahkan rasa bengang dipergunakan oleh sebuah stesen radio selama lebih 2 jam untuk berkongsi kisah depresi Haqiem sebelum ini serta menganggap dirinya dipergunakan dan hanya membuang masanya hadir ke program berkenaan.
Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Foto: Instagram
Must-Watch Video