Seorang guru yang mengajar di kawasan pedalaman Sabah, Fazri Hassan tersentuh apabila melihat pelitup muka yang telah kotor dan berjahit digunakan oleh murid-muridnya.

Kata Fazri, kisah itu diketahui ketika sedang berkongsi tatacara pemakaian pelitup muka di dalam sebuah kelas yang diajarnya baru-baru ini.

"Hari ini saya ambil sedikit masa berbincang dengan murid mengenai pemakaian pelitup muka ketika berada di dalam kawasan yang sesak.

"Terdiam seketika saya apabila melihat pelitup muka seorang murid kelihatan kotor dan siap berjahit lagi tali dia.

"Apabila tanya murid lain ada juga yang tukar baharu selepas dua tiga hari pakai.

"Apa apa pun, ini sekadar kisah murid saya tapi mngkin juga boleh terjadi dgn murid murid cikgu yang lain.

"Semoga kita sentiasa cakna dan prihatin untuk mereka," katanya.

Selepas menyedari akan situasi di sekolah terbabit, Fazri sendiri mengambil inisiatif untuk menukar pelitup muka murid-murid yang kurang berkemampuan dengan pelitup muka baharu secara percuma.

Kisah Fazri itu mendapat respon ramai pihak hingga ada yang bermurah hati untuk menghulurkan sumbangan kepada sekolah yang memerlukan.

Kongsi seorang tenaga pendidik yang mengajar di luar banda, situasi sama berlaku kepadanya.

"Ya betul. Saya mengajar luar bandar dan ada sesetengah pelajar saya merupakan orang asli.

"Memang begini keadaan mask mereka. Sebagai seorang guru dan manusia punya hati, saya telah menggantikan mask dengan yang baharu," kata @zkyhhmd.