Hiburan
Terima Banyak Tawaran Lakonan, Saharul Ridzwan Tetap Pentingkan Kualiti
Walaupun menerima banyak tawaran lakonan, aktor Saharul Ridzwan tetap mementingkan kualiti dalam setiap karya yang dijayakan.
"Alhamdulillah, saya menerima banyak tawaran lakonan. Saya anggap perkara ini sebagai rezeki untuk saya sekeluarga. Biarpun menerima banyak tawaran, saya melakukannya satu demi satu.
"Saya tidak mahu menerima dua atau tiga karakter serentak kerana saya takut apa yang saya jayakan tidak berkualiti. Saya mahu setiap watak yang saya jayakan berkualiti," kata Saharul kepada Astro Gempak.
Tambah pelakon drama bersiri Assalamualaikum Cinta ini, dia juga tidak kisah jika pengarah menyuruhnya untuk melakonkan babak yang sama berulang kali.
"Saya kadangkala memohon pengarah agar menegur saya jika babak yang saya jayakan tidak memenuhi kualiti yang diharapkan.
"Kalau ada adegan yang saya lakonkan tidak kesampaian dari segi mood dan feel, saya tak kisah untuk mengulang adegan yang sama berkali-kali sehingga berjaya," katanya lagi ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem televisyen (FTV) Bo Bajet Aksi di GSC The Gardens baru-baru ini.
Selepas kejayaan gandingan Saharul bersama aktres Janna Nick dalam drama bersiri Kau Aku Kita yang mencetus fenomena, FTV terbaru berjudul Bo Bajet Aksi sekali lagi menampilkan keserasian mereka.
FTV terbaru arahan Bak Chee Hong itu akan disiarkan menerusi saluran Astro First Eksklusif (480) atau Astro On Demand bermula 27 April ini dengan harga RM15.90 selama 48 jam.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video