Kumpulan Nasyid lagenda, Raihan mengucapkan terima kasih kepada penyanyi Alif Satar dan para peminatnya kerana menaikkan semula nama mereka.

“Terima kasih kepada Alif Satar dan peminat-peminat dia kerana banyak membantu menaikkan semula nama Raihan dan menambah bilangan ‘follower’ kami.

“Terima kasih atas usaha Alif kerana membuatkan anda semua dapat menikmati adunan baru ‘Sesungguhnya 2019’ yang lebih segar,” katanya.

Ucapan tersebut dibuat Raihan menerusi sebuah video di laman Facebook Raihan Official oleh Che Amran.

Sementara itu menerusi tinjauan Gempak, lagu ‘Sesungguhnya 2019’ yang dimuat naik pada 9 Mei lalu di saluran YouTube Alif Satar telah pun ditonton lebih 6 juta kali.

“Alhamdulillah, tidak sangka lagu ini diterima semula dan tiba-tiba nama kami kembali menjadi sebutan. Ia merupakan gandingan yang sempurna dan tepat pada masanya kerana ia keluar pada awal Ramadan.

“Alif yang bagi idea untuk menyanyikan semula lagu ini, dan inilah hadiah untuk mengubat rindu peminat kepada kami,” kata Che Amran.

Raihan telah bertapak dalam industri hiburan tanah air selama 23 tahun menerusi platform irama nasyid dan telah menerima pelbagai pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

Kumpulan itu kini dianggotai oleh Abu Bakar Md. Yatim, Che Amran Idris dan Amran Ibrahim.