Sekilas
- Aisha Retno mengakui pada mulanya kurang yakin untuk berlakon dalam teater muzikal Puteri Gunung Ledang kerana ia memerlukan lakonan selain menyanyi dan menari.
- Dia menjalani latihan intensif selama tiga bulan demi memberikan persembahan terbaik dan berterima kasih kepada Puan Sri Tiara Jacquelina atas kepercayaan yang diberikan.
- Pementasan berskala besar ini menampilkan 50 pelakon termasuk Aisha dan Mila Mohsin sebagai Gusti Puteri Retno Dumilah, serta barisan pelakon lain seperti Aqasha, Mimi Fly, dan Luqman Hafidz.
Penyanyi Aisha Retno mengakui dia pada mulanya berasa kurang keyakinan untuk melakukan teater muzikal memandangkan ia memerlukan lakonan selain menyanyi dan menari.
Menerusi hantaran di Threads, Aisha malah berasa tidak percaya dirinya dapat memegang salah seorang pemegang watak utama Gusti Putri Retno Dumilah dalam Teater Muzikal Puteri Gunung.
Namun penyanyi lagu Jodoh Lebaran itu tetap melakukan latihah secara intensif selama tiga bulan untuk memberi kepuasan sepenuhnya kepada penonton.
“Pada mulanya saya sangat rasa tidak yakin untuk lakukan teater muzikal sebab ia memerlukan lakonan dan bukan saja menyanyi dan menari. Bila saya dapat watak PGL dan berita itu diumumkan sendiri daripada kak Tiara.
“Saya masih tidak percaya, dan terus berlatih secara intensif selama 3 bulan dengan enfiniti untuk memberi kepuasan maksima untuk penonton,” kongsi Aisha.
Pada perkongsian yang sama, Aisha juga mengucapkan terima kasih kepada penerbit dan pengarah Puan Sri Tiara Jacquelina atas kepercayaan yang diberikan.
Terharu dengan maklum balas penonton terhadap Puteri Gunung Ledang, Aisha turut mengakui dia kini sudah jatuh cinta dengan dunia lakonan.
“Kak Tiara, terima kasih untuk kepercayaan terhadap diri saya. Feedback daripada anda semua tentang PGL buat saya nak menangis sangat.
“Sekarang saya jatuh cinta sangat dengan bidang lakonan,” kata Aisha lagi.
Pementasan berskala besar itu menampilkan seramai 50 barisan pelakon di atas pentas termasuk anggota ensembel.
Naskhah kali ini turut menyaksikan gandingan mantap barisan bintang generasi baharu apabila watak Gusti Puteri Retno Dumilah dikongsi bersama oleh Aisha Retno dan Mila Mohsin, manakala Aqasha menggalas watak pahlawan Hang Tuah.
Pementasan itu turut diperkukuhkan dengan kehadiran Mimi Fly dan Nadia Aqilah yang bergilir-gilir membawa watak Bayan.
Ia turut dimeriahkan dengan Luqman Hafidz memegang watak Sultan Mahmud Shah dan Yusof Hashim sebagai Gusti Adipati Handaya Ningrat.
Sumber - Threads