Kumpulan dari England, Blue mengakui tidak sabar untuk bertandang ke Malaysia dan menghiburkan peminat menerusi rangkaian konsert jelajah Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour akan datang.

Salah seorang anggota Blue, Simon Webbe berkata, dia masih teringat akan sambutan yang diberikan oleh peminat sewaktu mereka singgah ke Malaysia pada awal pembabitan sebagai kumpulan vokal.

“Ketika itu pertama kali datang ke negara-negara Asia dan kami sempat singgah ke Malaysia. Kami terkejut dengan sambutan yang diberikan pada waktu itu. Peminat tunggu kami di lapangan terbang menyambut kami.

“Tak sangka kami yang dari UK ada peminat di negara lain dan sehingga kini kami tidak akan lupakan momen itu,” katanya dalam sidang media virtual yang diadakan di ibu kota semalam.



Antony Costa pula menambah, dia berharap agar peminat akan terhibur dengan persembahan yang bakal diadakan kelak.

“Kami baru sahaja selesaikan jelajah di UK dan apa yang boleh saya katakan, kami berharap agar peminat bakal terhibur dengan persembahan kami.

“Pada malam konsert nanti, kami akan menyanyikan lagu hits kami serta lagu-lagu album baharu,” katanya.

Dalam pada itu, Duncan James sempat mencelah yang dia sering mencacah tatu setiap kali datang ke Malaysia.

“Setiap kali ke Malaysia, saya pasti akan cacah tatu. Terdahulu saya cacah pada bahagian kaki kiri. Untuk kali ini, saya tak pasti untuk cacah di mana,” katanya.

Sebelum menutup perbualan, Simon berkata yang peminat boleh menjangkakan persembahan yang mirip dengan persembahan terdahulu, tetapi ditambah dengan elemen baharu.

Jualan tiket konsert Blue 20th Anniversary Heart & Soul Tour yang dijadualkan berlangsung di Dewan Plenary, Kuala Lumpur itu sudah bermula pada 4 Januari, yang terbahagi kepada 5 kategori utama, VVIP dengan 'Meet & Greet' (RM688), VIP (RM488), DIAMOND (RM358), PLATINUM (RM258) dan GOLD (RM188) di laman web rasmi www.hitmanlive.com.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai konsert ini, sila hubungi En Keeran D. (Hitman Solutions) di talian 012-887 0669.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.