Selepas hampir setahun bertungkus lumus menangani wabak Covid-19, seorang doktor yang merupakan barisan hadapan (frontliner) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meninggal dunia, kelmarin.

Berita menyayat hati itu dikongsikan oleh Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia (SPJM) di Facebook (FB) miliknya, semalam.

"Kami baru menerima khabar kematian Almarhum Dr Ali Noor Hassan melalui laman Facebooknya. Arwah merupakan ahli berdaftar SPJM dan telah mengikuti SPJM sejak tahun 2018 serta menyertai Kursus Pengurusan Jenazah SPJM di Surau Quba Sentul pada 2 tahun lepas.

"Dr Ali juga dikhabarkan seorang ahli khidmat dakwah dan sudah dua kali menyertai Ijtimak atau perhimpunan Jemaah Tabligh di Beaufort, Sabah.

"Setiap kali Ijtimak besar jemaah tabligh di Sabah, Dr Ali akan datang dari Selangor berkhidmat secara sukarela sebagai petugas perubatan bagi peserta ijtimak," tulisnya.

Menerusi hantaran itu turut dimaklumkan arwah jatuh sakit kerana bebanan kerja dan juga disebabkan tidak mendapat rehat yang secukupnya sepanjang bertugas.

"Ini gambar terakhir beliau yang sempat diambil oleh rakannya sebelum beliau jatuh sakit kerana beban kerja terlalu penat dan letih, selain kekurangan masa untuk beristirehat setelah bertugas di barisan hadapan KKM menangani Covid-19. Beliau tertidur ketika bertugas dan pengsan," tulisnya lagi.

Salam takziah dari Gempak untuk ahli keluarga Dr Ali.



Foto: Facebook Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia