Sekilas
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, akan berbincang dengan isteri, Bella Astillah, mengenai rancangan berbulan madu selepas sidang Parlimen tamat pada minggu kedua Disember.
- Syed Saddiq menegaskan keutamaan kini adalah tanggungjawabnya di Dewan Rakyat sebelum memikirkan soal peribadi seperti bulan madu.
- Mereka sudah berbincang sejak sebelum kahwin tentang sokongan kerjaya masing-masing dan berusaha mengimbangi tanggungjawab menjaga anak sambil menyokong kerjaya seni Bella.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan berbincang dengan isterinya, penyanyi dan pelakon Bella Astillah, mengenai rancangan berbulan madu selepas sidang Parlimen tamat pada minggu kedua Disember ini.
Syed Saddiq berkata, buat masa ini dia memberi keutamaan kepada tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen dan perlu kembali ke Dewan Rakyat selepas menghadiri acara berkenaan.
“Ada, cuma yalah sekarang musim Parlimen. Lepas ni pun saya nak turun ke Parlimen lepas lunch break. Tanggungjawab hakiki perlu dilunaskan dulu.
“Dan selepas Parlimen tamat, iaitu pada minggu kedua bulan 12, di situlah boleh bincangkan soal rancangan honeymoon,” katanya ketika ditemui pada acara jenama kesihatan dan kecantikan Cuura di Open House, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Syed Saddiq hadir sebagai tetamu kehormat pada acara jenama kesihatan dan kecantikan Cuura itu, selari dengan gaya hidupnya yang aktif bersukan.
Sementara itu, mengulas mengenai kerjaya seni Bella selepas berkahwin, Syed Saddiq berkata mereka sudah berbincang sejak sebelum mendirikan rumah tangga tentang cara untuk menyokong kerjaya masing-masing.
“Saya daripada sebelum kahwin dengan isteri saya, dah memang ada perbincangan yang agak teliti berkenaan industri dan sokongan profesional yang akan kita berikan antara satu sama lain.
“Tidak adil untuk saya melenyapkan minat Bella dalam industri seni, dan untuk saya mementingkan diri sendiri dan kerjaya saya sampai melenyapkan impiannya untuk meneruskan kerjaya secara profesional,” ujarnya.
Menurut Syed Saddiq, dia mahu terus menyokong Bella dalam bidang seni sambil sama-sama mengimbangi tanggungjawab menjaga anak-anak.
“Saya patut memberikan sokongan selagi boleh, selagi kita tetap dapat mengimbangkan tanggungjawab untuk menjaga anak-anak. Ini perbincangan teliti yang kita telah ada dari sebelum kahwin pun,” katanya.