Teruja Filem Pertama Masuk Pawagam, Adriana Adnan Yakin Emp4t Sebuah Naskhah Berbeza
Pengacara dan pelakon Adriana Adnan berkongsi rasa teruja apabila filem lakonan pertamanya berjudul Emp4t bakal menemui penonton seluruh Malaysia tidak lama lagi.
Kata Adriana, pada awalnya projek ini hanyalah sekadar drama bersiri, namun akhirnya ia dikembangkan dan digarap menjadi sebuah filem.
Filem pertama Adriana
“Saya sangat teruja dan tak sabar nak tengok filem ini masuk pawagam.
“Selain teruja sebab ia filem pertama saya, filem ini juga mempunyai jalan cerita dan karakter yang saya bawa sangat menarik serta berbeza dengan apa yang pernah saya buat sebelum ini.
“Filem ini mula penggambaran pada 2021 sebagai sebuah siri, namun dikembangkan dan digarap semula sebagai sebuah filem.
“Jadi saya dan team kembali ke set penggambaran untuk menambah beberapa babak lagi dan alhamdulillah semuanya sudah selesai,” ujarnya kepada Gempak.
Adriana berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Emp4t yang berlangsung di Alchemist Code, The Vertival, Bangsar South baru-baru ini.
Adriana perlukan lebih tenaga
Tambah pengacara HLive itu lagi, dia yang membawakan watak bernama Sree dalam filem berkenaan menjelaskan ia adalah perkara yang tidak mudah baginya.
Ini kerana watak berkenaan menuntutnya untuk menggunakan tenaga yang lebih.
“Sejak kecil lagi saya memang suka tengok cerita seram, jadi bila dapat tawaran untuk berlakon filem sedemikian ini pastinya saya rasa sangat teruja.
“Namun itu tidak lah semudah yang disangka kerana ia memerlukan persediaan rapi, selain energi yang banyak bagi memenuhi tuntutan watak,” tambahnya.
Emp4t tampil dimensi berbeza
Sementara itu, menurut pengarah Ayez Shaukat, Emp4t bakal menonjolkan satu dimensi berbeza daripada filem-filem arahannya yang terdahulu.
“Sebelum ini, Lomo Pictures amat dikenali dengan jalinan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa seperti China, Hong Kong, Taiwan dan Singapura.
“Produksi kami ini juga pernah menerbitkan filem Haunted Hotel, Small Town Heroes dan Gila Gusti.
“Kali ini Emp4t memberikan dimensi berbeza. Hasil kerjasama dengan Fortunes Studios, ANT3, TNT Food dan MyBest Global Express.
“Pihak kami juga berharap, filem ini mampu membuat penonton teruja bersama ketika menontonnya nanti selain kelainan yang cuba disampaikan dapat diterima dengan baik oleh semua,” katanya.
Sinopsis
Selain Adriana Adnan, Emp4t turut menampilkan Syafie Naswip, Riesha Aslan dan Alvy Joanna dan ramai lagi.
Filem empat berkisarkan tentang sekumpulan remaja sahabat baik yang memiliki pelbagai latar belakang serta konflik mempunyai keistimewaan pancaindera ke enam iaitu mampu melihat dan merasai alam ghaib.
Persahabatan yang erat dari alam remaja sehingga ke alam dewasa membuatkan mereka akhirnya terpaksa berdepan suatu peristiwa tragis yang menelan korban dan merenggut nyawa. Siapa sree dan apa kaitannya dengan alam ghaib ? adakah benar mereka mampu melihat makhluk ghaib atau memiliki masalah jiwa yang tidak terungkap sehingga nyawa galang ganti ? Saksikan Emp4t tidak lama lagi.
Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.