Masih berbisa dan tetap unggul! Itu yang paling layak untuk menggambarkan persembahan Konsert Endemik olek kumpulan rock lagenda Search yang berlangsung selama dua malam pada 4 dan 5 Jun lalu.

Diadakan di lokasi bertaraf antarabangsa Zepp Kuala Lumpur, ia merupakan antara konsert terbesar pernah dianjurkan oleh Search.

Sebagai artis pertama yang membuat konsert solo di Zepp KL serta antara yang pertama membuat konsert berskala besar di fasa endemik, Search melakar pelbagai sejarah monumental dengan Konsert Endemik yang telah dirancang sejak tahun lepas lagi.

Dengan repertoire yang terdiri dari gabungan single terbaru dari Search iaitu Endemik I dan Endemik II, sehinggalah kepada lagu-lagu yang menjadi kegilaan peminat-peminat tegar Search memberikan status legenda scene rock n roll seperti Isabella, Fantasia Bulan Madu, Rozana, Meniti Titian Usang, Pawana dan Isi Atau Kulit.

Selain itu, Search turut menyelitkan lagu-lagu yang jarang dipersembahkan live seperti Nigina dan Diari Habil dan Qabil, lantas mengimbau nostalgia para peminat yang memenuhi setiap ruang Zepp KL.

Konsert selama dua jam tanpa henti tersebut membuktikan bahawa status Search sebagai kumpulan rock nombor satu di Malaysia belum lagi dapat dicabar.

SET LIST KONSERT ENDEMIK 2022

1. Endemik 1

2. Pelesit Kota

3. Nigina

4. Meniti Titian Usang

5. Kejora

6. Gelora Cinta

7. Isi Atau Kulit

8. No Way

9. Endemik II

10. Hello Kawan (Tribute to Allahyarham Yazit Ahmad)

11. Setelah Hujan

12. Rozana

13. Gadisku

14. Songsang

15. Pada Satu Kedudukan

16. Isabella

17. Fantasia Bulan Madu

18. Diari Habil & Qabil

19. Melastik ke Bintang

20. Pemuzik Jalanan

21. Mat Rock (bonus)

22. Pawana (bonus)

Dalam pada itu penganjur yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, LOL Asia, Rizal Kamal berkata, dia percaya status Search sebagai kumpulan rock nombor satu di Malaysia, fasiliti bertaraf dunia di Zepp KL dan juga tenaga kerja belakang tabir dan sistem sokongan yang kukuh menjadi faktor utama Konsert Endemik hebat diperkatakan dan sold out pada kedua-dua malam.

“Dengan line-up ikonik yang terdiri dari ikon muzik rock Malaysia iaitu Amy, Nasir, Hillary dan Man Kidal, Search juga diiringi oleh Genervie dan Arthur Kam (drum) yang diiktiraf sebagai di antara sessionist terbaik di Malaysia.

“Pasangan adik beradik ini sememangnya menjadi buruan artis dari seluruh dunia atas kemahiran mereka di dalam bidang permainan dan arahan muzik. Dari segi teknikal, kami telah menjemput pakar-pakar tempatan dan antarabangsa seperti Akira Yamauchi, seorang jurutera bunyi yang dikenali ramai, untuk memastikan kualiti sound Konsert Endemik pada kedua-dua malam di tahap yang tertinggi,” katanya,

Dalam pada itu, dikenali sebagai ikon fesyen negara, Search sekali lagi telah melantik Jiman Casablancas sebagai stylist atau penata gaya bagi keseluruhan Konsert Endemik.

Jiman menyatakan, fesyen adalah di antara elemen yang amat diambil berat oleh Amy dan dia sentiasa mahukan sesuatu yang fashion forward.

“Saya bekerjasama dengan Kit Woo dan Wardrobe Privato untuk memastikan penampilan kesemua ahli-ahli Search serta sesiapa sahaja yang beraksi di atas pentas menyokong visi Search dari segi visual.

“Pasukan grooming SEARCH pula diketuai oleh Khir Khalid dan bersamanya adalah David Shaw, Jijie Zainaldan Kasih Cicie,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amy selaku vokalis utama Search menyatakan, mereka percaya bahawa Konsert Endemik ini telah berjaya menjadi penanda aras bagi penganjuran konsert fasa endemik di Malaysia dan rantau ini.

“InsyaAllah Konsert Endemik akan kami bawa ke serata Malaysia dan mungkin juga ke luar negara.

“Bagi pihak SEARCH, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutamanya peminat-peminat Search yang menyokong perjalanan kami sejak ia ditubuhkan sehingga kini,” katanya.