Selama lebih 20 tahun berada dalam industri muzik... Ternyata persembahan kumpulan lagenda, Westlife tidak mengecewakan.

Hadir untuk menjayakan konsert Westlife The Twenty Tour Live in Kuala Lumpur, Gempak diundang untuk merasai sendiri kehebatan kumpulan yang berasal dari Ireland ini.

Tiada kata yang dapat diungkapkan tentang keseluruhan persembahan Westlife melainkan menakjubkan!

Di sini Gempak imbas kembali momen terindah yang masih lagi dirasai oleh peminat Westlife pada Jumaat.

1. Jumlah keseluruhan peminat yang hadir konsert Westlife The Twenty Tour Live in Kuala Lumpur pada Khamis dan Jumaat adalah sebanyak 14,000.

2. Benarlah seperti ungkapan frasa ‘childhood memories’, Gempak sendiri menyaksikan pelbagai golongan usia yang hadir ke konsert tersebut. Paling menyentuh hati apabila ada beberapa peminat memimpin ibu mereka yang berusia lingkungan 40 ke 50-an menaiki tangga untuk memasuki Stadium Malawati.


3. Tepat jam 9:12 malam, konsert dimulakan dan peminat menarik nafas lega sebelum bersorak selepas dihidangkan dengan paparan visual setiap anggota Westlife dengan lagu Swear It Again.

4. Walaupun hanya berdiri di pentas sebelum memulakan nyanyian, sorakan peminat yang bergema di stadium sudah cukup untuk menilai betapa hebatnya populariti kumpulan yang dianggotai oleh Shane Filan, Nicky Byrne, Kian Egan dan Mark Feehily di Malaysia.

5. Personaliti setiap anggota juga tidak berubah, telatah lucu empat figura popular itu ketika berbicara mengenai diri mereka membuatkan peminat ketawa dan bersorak dengan kuat.

6. Selain itu, Westlife juga turut mengambil kesempatan memohon orang ramai membantu mencari remaja Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang sejak Ahad lalu ketika menginap di sebuah resort di Nilai, Negeri Sembilan.

7. Walaupun berusia lingkung 39 ke 40 tahun namun tenaga yang diberikan ketika melakukan persembahan tidak langsung menggambarkan usia malah sukar untuk melihat mereka ‘semput’ di atas pentas.

8. Westlife juga turut membuat segmen tribute untuk kumpulan lagenda Queen dengan menyanyi lagu-lagi medley mereka antaranya We Will Rock You.

9. Antara lagu-lagu hit dan menggamit memori yang disampaikan Westlife adalah My Love, Uptown Girl, Swear It Again, I Have A Dream dan Flying Without Wings.

10. Bagaimanapun ketika mereka menyampaikan lagu Flaying Without Wings, peminat menjadi sedikit beremosi. Dengan kelunakan vokal Westlife dan penghayatan cukup mendalam semasa menyampaikan lagu tersebut menyentuh hati peminat.

11. Tidak dapat menahan sebak, ada peminat yang mengalirkan air mata, mungkin kerana menyedari memori indah yang dicipta bersama idola mereka sudah sampai ke penghujungnya.

Secara keseluruhannya, konsert anjuran MacpiePro yang berlangsung selama dua hari itu ternyata meninggalkan seribu satu kenangan manis buat peminat mereka.