Aktor Hollywood Chris Hemsworth sedang mempersiapkan diri untuk memegang watak sebagai jaguh World Wrestling Entertainment (WWE), Hulk Hogan.

Bakal menjalani perubahan yang lebih besar berbanding adiwira Marvel Thor, Hemsworth, 36, akan membesarkan lagi badannya dan membuang janggut untuk filem biopik Hulk Hogan ini.

Memetik laporan Comic Book, Hemworth berkata projek filem ini bakal menjadi sesuatu yang menyeronokkan.

“Kalau anda boleh bayangkan, persediaan untuk watak jaguh gusti ini akan melibatkan perubahan fizikal, saya akan membesarkan badan lebih daripada filem-filem terdahulu, lebih daripada Thor.



“Kemudian saya akan berlatih untuk mempelajari gaya, pelat dan perangai Hogan,” katanya lagi.

Filem ini akan berkisar sekitar tahun 1980 di mana kehidupan Hogan berubah daripada seorang ahli gusti dalam liga tempatan di Florida kepada wajah utama World Wrestling Federation.

Menurut Hemsworth lagi, dia sudah lama memerhatikan dunia WWE dan ingin meneroka lebih dalam lagi dalam kehidupan sebagai ahli gusti.

“Saya tertarik dengan dunia ini kerana pasti ada sisi mereka yang mereka belum tunjukkan pada orang lain,” ujar Hemsworth lagi.

Filem yang belum disahkan tajuknya ini turut menampilkan Hulk Hogan, 66, sebagai perunding dan produser eksekutif.