Susulan kontroversi berhubung nama VE, akhirnya Adeep Nahar, Cham, Hakim dan Fakhiz mengumumkan bahawa mereka kini bukan lagi anggota kumpulan itu bermula pada hari ini.

Bagaimanapun, Adeep tetap mengucapkan terima kasih kepada anggota lama VE iaitu Zaf, Lah Ahmad dan Cham yang sudi menjemputnya sertai kumpulan itu pada 2018.

“Saya sebagai Adeep Nahar, mengucapkan terima kasih kepada kumpulan VE, terutama Zaf, Lah, dan Cham kerana sudi menjemput saya, bersama-sama kumpulan VE pada 2018.

“Dengan hari ini, saya segala hormat keluar daripada VE. Saya tak nak ada kena mengena dengan VE lagi sebab selama ini pun saya berdiri di atas kaki sendiri. Sepanjang 11 minggu di GV9, saya hanya persembahkan apa yang mampu.

“Saya minta maaf, bermula hari ini saya istihar diri saya keluar daripada kumpulan VE,” katanya kepada Gempak.

Hakim, Cham dan Fakhiz turut mengambil keputusan yang sama ketika mereka berempat ditemui di sidang media di HMO Space, Petaling Jaya pada hari ini.

Tidak dapat menahan air mata daripada mengalir, Adeep turut meluahkan rasa terkilan apabila isu tersebut dibangkitkan oleh rakan sendiri.

“Semestinya saya malu dengan isu yang timbul ini… masing-masing sudah besar, berhenti jadi budak-budak sebab semua pun dah jadi bapa kan. Kami enggan memanjangkan isu ini lagi kerana menganggap perkara remeh yang tidak perlu dipanjangkan.

“Oleh itu, saya tidak mahu terus menjadi racun dan mencemarkan nama VE seperti yang didakwa. Saya juga terkilan kerana tak menyangka perkara ini datang daripada sahabat sendiri. Jadi, persahabatan kami pun berakhir di sini saja.

“Benarlah kata Mufti Menk, tikaman yang datang daripada sahabat sendiri,” ujarnya.

Terdahulu, ahli asal iaitu Zaf tampil meminta agar kumpulan yang dibina atas nama VE di Gegar Vaganza 9 (GV9) tidak lagi menggunakan nama VE sebagai nama kumpulan mereka.

Kata Zaf atau nama penuhnya Zafri Nazarudin, keputusan itu diambil secara aman bagi menjaga hubungan silaturahim di masa akan datang.

Zaf mendedahkan konflik dengan kumpulan VE sebelum ini tercetus selepas dia diminta untuk tidak mencampuri urusan mereka dalam GV9 sebelum pertandingan itu bermula.

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!