Tidak mahu hanya memberikan tumpuan kepada satu bidang, penyanyi dan pelakon Hazama mahu mencabar diri dan menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pengarah.

Menurut Hazama, impiannya tercetus sewaktu membintangi filem Rock 4: Rockers Never Dai arahan sutradara prolifik, Allahyarham Mamat Khalid.

“Cita-cita sebagai seorang penyanyi sudah tercapai jadi saya ingin mencabar diri menjadi pengarah pula. Sebab saya ini seorang yang sukakan cabaran, jadi kalau boleh saya nak cuba pelbagai bidang dalam cabang seni.

“Tetapi disebabkan saya tidak belajar ilmu pengarahan di mana-mana universiti, saya ambil pendekatan dengan bertanyakan tentang ilmu tersebut dengan sutradara sedia ada dan juga kru di belakang tabir.

“Saya simpan hasrat untuk duduk di kerusi pengarah pada usia 40 tahun, sebagai persediaan saya juga giat mempelajari kerja-kerja belakang tabir.

“Saya suka tengok cara kerja Allahyarham Mamat Khalid. Beliau banyak berkongsi ilmu tentang dunia pengarahan kepada saya. Raja Mukhriz dan Bade juga antara insan yang tidak lokek berkongsi pengalaman,” katanya ketika ditemui Gempak.

Tambah Hazama lagi, dia mengambil contoh Mawi yang pada asalnya merupakan seorang penyanyi dan kini berjaya menjadi seorang pengarah.

“Kalau nak cakap mengenai kritikan, saya rasa sebagai seorang anak seni perkara itu sudah menjadi lumrah dalam hidup.

"Pada saya untuk mencapai atau merialisasikan sesuatu impian, kita kena yakin pada diri. Saya ambil contoh paling dekat iaitu Mawi.

“Dia tiada pengalaman buat filem tetapi berjaya begitu juga dengan anak arwah Mamat Khalid iaitu Amen. Masing-masing berjaya melalui cabaran yang sangat besar sebelum dapat mengeluarkan filem sulung mereka.

“Jadi saya rasa kenapa tidak saya sendiri cuba, saya tahu bukan senang untuk menjadi pengarah tetapi saya akan terus menimba ilmu, membuat persediaan sebaiknya dan melakukan yang terbaik,” jelasnya.

Dalam perkembangan terbaharu, Hazama bakal muncul dengan drama komedi berjudul Hantu Karaoke bersama penyanyi Nabila Razali.