Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Tidak Ada Yang Lebih Bijak, Bella Failkan Cerai Kali Kedua Buat Aliff Aziz

Maliah Surip
13/03/2024 15:55 MYT
Tenang pada wajah dan tutur katanya saat melangkah serta berdepan media massa di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan namun yang berkecamuk dan bergelora di dalam lubuk hati hanya dia, Bella Astilah seorang yang tahu.

Namun sekurangnya meski mendoakan runtuh sebuah institusi rumah tangga apa lagi di bulan mulia Ramadan adalah sebuah tindak kebodohan dan tidak layak dibanggakan, untuk kes pelakon dan penyanyi genit Bella Astillah memfailkan penceraian buat suaminya, Aliff Aziz mengundang kelegaan kepada semua yang mengikuti prahara perkahwinan mereka.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


Apa lagi ini bukan peluang pertama, kemaafan demi kemaafan, membasuh luka yang entah sudah menjadi puing terbang tidak terlihatkan kerana kesetiaan dan cinta dikhianati dengan kecurangan berkali-kali, tindakan Bella memfailkan penceraian buat kali kedua kepada Aliff dilihat tindakan untuk menyelamatkan diri sendiri.

“Saya nekad kerana rasa peluang demi peluang telah diberi,” begitu akhirnya Bella reda dengan perjalanan rumah tangganya setakat hari ini.

Kata nekad dan peluang demi peluang merujuk kepada berkali-kali selebriti kelahiran Singapura itu curang sejak mereka mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016.

Bukan tidak pernah bercerai, Aliff dan Bella juga pernah berpisah pada Mei 2019 sebelum kembali rujuk sewaktu dalam tempoh iddah. Aliff berjanji mahu memperbaiki diri dan menjaga hati sang puteri.

Tapi takdir berkata lain. Aliff terus tewas dengan nafsu sendiri. Terus terkait dengan cinta lokasi ; antaranya pernah didakwa menjalin hubungan bersama pelakon Afifah Nasir pada 2017 sebelum terjebak pula ‘main hati’ dengan lawan mainnya, pelakon cantik Sophia AlBarakbah tahun lalu.

Dan di tahun 2024, Aliff ‘berjaya’ membuat namanya menjadi berita hangat sehingga dilaporkan oleh media Indonesia apabila tertangkap berduaan dengan pelakon Ruhaineis di kediaman wanita itu beberapa hari lalu. Keduanya sedang terlibat dengan penggambaran sebuah drama.

Menyifatkan cinta tidak semestinya bersatu, Bella mengatakan segala sesuatu yang terjadi ada hikmah di sebaliknya.

Dia cuma berharap agar proses penceraian yang telah dipersetujui Aliff dapat berjalan lancar.

“Saya cuma nak dipermudahkan proses (cerai) apa lagi di bulan Ramadan. Apa yang terjadi pasti ada hikmah,” katanya tenang.

Dan dengan tenang serta matang, Bella, 31, mengatakan tidak akan pernah memisahkan Aliff bersama dua anak mereka, Mohamad Aydean Adrean dan Ara Adreanna.

“Aliff tetap bapa mereka dan saya tidak pernah akan menghalang dia bertemu anak-anak,” janji Bella.

Seperti kata seorang ilmuwan Indonesia, Rocky Gerung ; Wanita itu indah sebagai fiksi dan berbahaya sebagai fakta — inilah realiti yang perlu dihadapi Aliff Aziz apabila Bella Astillah nekad bertindak.

BERITA TRENDING: Selepas Isu Ditangkap Khalwat, Akhirnya Bella Astillah Nekad Failkan Cerai Terhadap Aliff Aziz

BERITA TRENDING: “Tak Semestinya Cinta Itu Harus Memiliki” - Bella Astillah

#Aliff Aziz #Bella Astillah
;