Laman Utama
Tidak Berdendam, Syamsul Pesan Pada Sarah - "Jangan Ingat Ini Pengakhiran Segalanya"
Pengarah berkontroversi, Syamsul Yusof bersyukur apabila proses penceraiannya bersama bekas isteri yang juga merupakan pelakon, Puteri Sarah Liyana dapat diselesaikan dengan cara baik.
Kata Syamsul, demi kebaikkan anak-anak dia merasakan ia keputusan yang terbaik meskipun berat.
"Alhamdulillah, hari ini semuanya sudah selesai. Kes perceraian hari ini berjalan lancar seperti yang kami bincang sebelum ini demi masa depan anak-anak. Kami (Syamsul dan Sarah) bercerai talak satu.
Selepas ini segala keperluan anak-anak akan ditanggung oleh saya.
Advertisement
“Kalau kami memikirkan tentang diri kami sahaja, perkara ini akan memberi kesan pada anak-anak. Saya sebagai ayah dan Puteri Sarah sebagai ibu tak rela nak memperjudikan perasaan anak-anak. Ini pengakhiran yang baik.
“Tentang perbelanjaan dan keperluan anak-anak pula, segalanya akan ditanggung oleh saya,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, Syamsul berpesan kepada Sarah dengan mengatakan perpisahan yang berlaku bukan pengakhiran untuk hubungan mereka berdua.
“Saya pesan pada Sarah jangan ingat ini pengakhiran segalanya. Kita akan selama-lamanya menjadikan anak itu sebagai ikatan.
"Dia tetap ibu kepada anak-anak saya. Saya akan sentiasa ada, mana yang boleh saya bantu, saya akan tolong," ujarnya.
Syamsul juga memberitahu dia harus mengambil masa untuk membuat keputusan ini bagi memikirkan dahulu tentang implikasi yang bakal menimpa keluarganya.
“Sudah tentu kami kena mengambil masa untuk membuat sebarang keputusan. Setiap keputusan punyai implikasinya. Jadi, kami memilih jalan yang terbaik.
“Sarah sebagai ibu pun tidak mahu anak-anak berjauhan dengan bapa mereka. Saya pun tak mahu penceraian ini memberi kesan besar buat anak-anak,” ujarnya lagi.
Pengarah Filem Original Gangstar berkata sedemikian selepas selesai prosiding lafaz cerai yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Syamsul turut berharap agar kisahnya ini dapat menjadi pengajaran buat pasangan suami isteri di luar sana.
“Daripada awal lagi, saya menganggap ini adalah ujian hidup saya. Kami pun bukan muda lagi. Kami perlu kuat dan Alhamdulillah pengakhirannya baik.
“Diharapkan Sarah dapat meneruskan kehidupannya dengan baik. Begitu juga dengan saya. Walaupun berpisah, kami tidak berdendam lagi. Saya reda kerana ini lumrah kehidupan.
“Saya harap apa yang berlaku kepada kami ini dapat menjadi pengajaran bukan sahaja kepada para selebriti tetapi kepada orang-orang lain di luar sana,” akhirinya.
Terdahulu, Syamsul telah sah melafazkan cerai talak satu terhadap Puteri Sarah pada Rabu di hadapan Hakim Syarie Akmalluddin Ilyas.
Dalam prosiding hari ini, Puteri Sarah diwakili peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader manakala Syamsul diwakili peguam syarie Azmi Mohd. Rais.
Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini Puteri Sarah mengatakan proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.
Aktres itu berkata, tiada perkara yang perlu dirunding atau dibincangkan lagi memandangkan hatinya telah tertutup untuk berdamai selepas nekad mahu bercerai.
Kemudian pada 18 April lalu, pasangan itu sepatutnya merekodkan persetujuan penyelesaian yang dikatakan telah dicapai dalam satu pertemuan yang mana Syamsul juga akan melafazkan talak terhadap Puteri Sarah pada hari tarikh tersebut.
Bagaimanapun saman terhadap Ira Kazar dan pengurangan jumlah tuntutan nafkah anak antara yang menjadi penghalang kepada penceraian antara Puteri Sarah dan Syamsul.
Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4
Must-Watch Video