Vokalis utama Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman Amy menyampaikan belangsukawa dan salam takziah di atas kembalinya pemain dram band Yazit Ahmad pada pukul 11.53 pagi tadi.

BACA: Pemain Dram Lagenda, Yazit Search Meninggal Dunia

“Saya dengan rendah hati menyampaikan salam takziah di atas kepulangan Yazit ke Rahmatullah hari ini.

“Semoga segala amalannya sepanjang di dunia diperhitungkan dan roh beliau dicucuri rahmat,” ucap Amy Search dalam kenyataan rasmi yang diberikan kepada pihak media sebentar tadi.

Amy juga memohon maaf kerana tidak dapat menziarah dan menghadiri majlis pengebumian Allahyarham Yazit kerana kini berada di Jakarta, Indonesia.

Vokalis tersebut terikat dengan pekerjaannya sebagai komentator di program Golden Memories Asia untuk siaran Indosiar di Jakarta, Indonesia.

“Saya meminta maaf kerana masih perlu melunaskan tanggungjawab sebagai komentator bagi Golden Memories Asia yang masih akan bersiaran langsung pada malam ini.

“Sekali lagi salam takziah buat seluruh keluarga Yazit. Semoga tabah menghadapi pemergiannya,” kata Amy lagi.

Yazit Ahmad, meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira pukul 11.53 pagi tadi.

Pagi semalam (Rabu), Allahyarham dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Wad Urologi dan Nefrologi, HKL selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Salehuddin Al-Ayubi Taman Melati, Gombak untuk dikafan dan disembahyangkan.

Difahamkan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Selasih selepas solat Asar.