Hiburan
Tidak Kecewa Lepaskan ‘Intan’, Mimi Lana Anggap Rezeki Sampai Disitu Sahaja - “Saya Pula Nak Merasa…”
Pelakon, Mimi Lana akui agak sedih kerana tidak dapat menyambung perjalanan wataknya sebagai Intan dalam drama sensasi, Andai Tiada Dia.
Meskipun begitu, Mimi sangat bersyukur kerana dapat menjayakan drama itu sehingga episod 28 dan baginya ini adalah peluang untuk pelakon, Alicia Amin meneruskan watak paling kontroversi itu.
“Ya semestinya, sebab saya dah buat sampai episod 28 tapi rezeki saya mungkin sampai disini sahaja.
“Ini adalah penyambungan buat Alicia pula, saya anggap rezeki saya sampai disitu sahaja,” katanya kepada Gempak.
Bagaimanapun, Mimi atau nama lengkapnya Mimi Rozaiana Zainal Abidin,29, menyatakan dia tidak merasa kecewa tidak dapat menyambung perjalanannya dalam Andai Tiada Dia.
Menurut Mimi, kali ini dia cuba meletakkan dirinya pula sebagai penonton drama sensasi tersebut.
“Nak cakap kecewa tu tiada, untuk watak dalam drama ini saya dah buat penutupannya.
“Tapi saya sangat gembira kerana dengan adanya bonus track ini dia punya rasa itu turun naik dan saya pula nak merasa jadi penonton kali ini. Sebelum ini bila saya tengok video saya hanya fokus kepada penampilan saya dalam drama tersebut.
“Jadi bila watak itu dipengang oleh Alicia saya dapat lihat bagaimana watak Intan itu dimainkan, jadi saya pun rasa geram sama macam penonton lain.
Mimi ditemui media ketika menghadiri watch party drama Andai Tiada Dia di Dash Box Cyberjaya.
Terdahulu, watak Intan yang sebelum ini dimainkan oleh Mimi Lana telah ditukarkan kepada Alicia selepas satu babak dimana Intan terkena minyak panas.
Hantaran Alicia di Instagram juga menarik perhatian warganet apabila berkongsi gambar dia disolek untuk drama tersebut.
Sinopsis
‘Andai Tiada Dia’ mengisahkan pasangan Suri, (Ummi Nazeera) dan Haikal, (Hisyam Hamid) yang sudah 7 tahun mendirikan rumah tangga namun masih belum dikurniakan zuriat.
Tertekan dengan situasi sekeliling, Suri meminta izin kepada Haikal untuk melakukan IVF namun tidak diambil endah oleh Haikal kerana sudah selesa dan bahagia hidup tanpa memiliki anak.
Kematian Hisyam, adik kepada Haikal, meninggalkan seorang bayi malang berusia 4 bulan dan menggerakkan hati Suri untuk mengambilnya sebagai anak angkat.
Kehadiran Intan (Mimi Lana), adik kepada Suri dalam rumah tangga mereka mengeruhkan lagi keadaan apabila Haikal dan Intan mula menjalinkan hubungan sulit semasa Suri sibuk menjaga anak angkat mereka.
Drama yang menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Hisyam Hamid, Ummi Nazeera, Mimi Lana dan juga Zahiril Adzim itu bersiaran setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104).
Must-Watch Video