Hiburan
“Tidak Perlu Imbas MySejahtera Ketika Pam Minyak” - Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia
Kecoh hari ini apabila orang ramai diwajibkan untuk mengimbas MySejahtera sewaktu mengisi minyak di stesen minyak.
Perkara itu diumumkan susulan laporan sebuah berita tempatan yang mendakwa pihak polis akan mengeluarkan saman kepada individu yang gagal mengimbas MySejahtera sewaktu mengisi minyak.
Menerusi laporan itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, DCP Datuk Mior Faridalathrash Wahid, menasihatkan orang ramai untuk mengimbas MySejahtera terlebih dahulu meskipun tidak memasuki kedai serbaneka di stesen berkenaan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai klip rakaman suara seorang lelaki yang mendakwa bapanya telah dikompaun sebanyak RM1,000 kerana gagal mendaftar aplikasi MySejahtera ketika mengisi minyak meskipun memakai pelitup muka.
Namun, laporan terbaru dikeluarkan oleh The Star, Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz memberitahu orang ramai hanya perlu mengimbas sekiranya memasuki kedai serbaneka di stesen minyak.
“Kami diberitahu orang ramai hanya perlu imbas QR dan mengambil suhu ketika memasuki kedai, tandas dan surau.
“Selebih daripada itu tidak perlu,” katanya.
Tambahnya, perkara itu juga telah disemak dengan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC).
“Satu lagi perlu diambil kira adalah bahayanya menggunakan telefon berhampiran pam minyak.
“Atas dasar keselamatan, ia sangat tidak praktikal,” katanya.
Pada masa sama, menerusi pemantauan Gempak di media sosial, orang ramai kini bingung sama ada perlu atau mengimbas atau tidak.
Rata-rata mereka tidak bersetuju dengan arahan tersebut memandangkan penggunaan telefon pintar berhampiran pam minyak adalah bahaya.
Must-Watch Video